Positif, kata Syed Saddiq lepas pertemuan pertama bentuk parti anak muda


Alfian Z.M. Tahir

Syed Saddid berkata beliau akan membentuk parti anak muda yang akan mempunyai struktur kepemimpinan lateral dan merancang untuk bertanding bukan hanya di kerusi bandar tetapi juga untuk memasuki wilayah separa desa dan luar bandar. – Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Ogos, 2020.

SATU resolusi bagi membentuk parti anak muda dicapai hasil pertemuan dengan 30 wakil belia, kata Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Bekas menteri belia dan sukan itu yang mempengerusikan pertemuan itu berkata satu pengumuman akan dibuat tidak lama lagi.

“Ia merupakan pertemuan positif. Satu resolusi dicapai dan kita akan membuat pengumuman tidak lama lagi,” kata ahli Parlimen berusia 28 tahun itu selepas mesyuarat ‘Rundingan Muda Malaysia’ di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru di Kuala Lumpur.

Bagaimanapun beliau tidak menjelaskan lebih lanjut perbincangan mesyuarat itu.

Syed Saddiq berkata antara yang hadir termasuk bekas Ketua Pegawai Eksekutif Permodalan Nasional Berhad Abdul Jalil Rasheed dan pengasas FatHopes Energy Vinesh Sinha, Liew Ooi Hann (RinggitPlus), Nadhir Shafiq (TheLorry) dan Radzi Tajuddin (Hi HOME).

“Bukan semua usahawan. Ada juga peguam Lim Wei Jiat, Amir Abdul Hadi dari Suara Rakyat Malaysia, aktivis Orang Asli Shaq Koyak, aktivis hak asasi kanak-kanak, Syed Azmi and penulis skrip filem Adiwiraku, Teacher Cheryl Ann Fernando,” tambahnya.

Syed Saddiq bersama Dr Mahathir Mohamad dan lima lagi pemimpin, dipecat daripada Bersatu kerana menyokong pembangkang selepas parti itu yang diketuai Muhyiddin Yassin membentuk kerajaan Perikatan Nasional bersama Barisan Nasional, PAS dan Gabungan Parti Sarawak.

Syed Saddid berkata beliau akan membentuk parti anak muda yang akan mempunyai struktur kepemimpinan lateral dan merancang untuk bertanding bukan hanya di kerusi bandar tetapi juga untuk memasuki wilayah separa desa dan luar bandar.

Gerakan yang pada masa ini melabel dirinya sebagai ‘Muda’ membayangkan dirinya bersikap berkecuali tanpa berpihak kepada Pakatan Harapan atau Perikatan.

Bekas menteri belia dan sukan itu tidak mengikut Dr Mahathir dan lima pemimpin Bersatu yang lain untuk menubuhkan parti Pejuang, parti yang berasaskan kepada perjuangan Melayu seperti Umno dan Bersatu. – 31 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen