MENTERI Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Mohd Khairuddin Aman Razali masih perlu menjawab pelbagai persoalan yang timbul mengenai pelanggarannya terhadap peraturan kuarantin Covid-19, kata ahli Parlimen DAP, Lim Lip Eng.
Kurangnya ketelusan berhubung kesalahan beliau itu telah menimbulkan persoalan tentang apakah beliau benar-benar telah membayar denda, kata ahli Parlimen Kepong itu.
“Adakah dia bayar kompaun RM1,000 pada 7 Ogos, seperti yang dituntut oleh Kementerian Kesihatan atau adakah kompaun ini diletakkan tarikh 7 Ogos setelah perkara ini dibahaskan di Parlimen pada 19 Ogos?” Lim berkata dalam satu kenyataan, merujuk kepada tarikh yang didedahkan di Parlimen oleh ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok.
Permohonan maaf dan kenyataan Khairuddin bahawa dia hanya melakukan kesalahan berhubung prosedur operasi standard (SOP) tidak cukup untuk menjawab banyak persoalan yang timbul, tambah Lim.
“Dia kata bahawa dia pergi ke Turki dalam perjalanan separa rasmi bersama keluarga, saya gesa kementeriannya dedahkan bil tiket penerbangan dan biaya perjalanan yang ditanggung oleh kerajaan, (dan) jika ya, mengapa (ia ditanggung kerajaan)?
“Di bawah keadaan ekonomi semasa di tengah pandemik Covid-19, sumber daya negara harus digunakan untuk rancangan rangsangan ekonomi, bukan pada perjalanan percuma untuk menteri dan keluarga mereka,” kata Lim.
Khairuddin sebelum ini dilaporkan telah memohon maaf, namun menegaskan bahawa kesalahannya itu tidak menyebabkan beliau mengundur diri sebagai menteri.
Ahli politik PAS yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus itu turut menambah bahawa beliau akan menyumbangkan empat bulan gajinya ke dalam dana Covid-19 kerajaan sebagai menebus kesalahan beliau.
Walaupun Kementerian Kesihatan mengeluarkan kenyataan minggu lalu menjelaskan bahawa Khairuddin telah membayar kompaun RM1,000 pada 7 Ogos.
Namun Ketua Pengarah Kesihatan kemudiannya berkata bahawa pegawai atasan kementerian tidak mengetahui pelanggaran SOP Khairuddin ketika ia berlaku sekembalinya beliau dari Turki pada 7 Julai, pihak kementerian hanya mengetahui hal tersebut dari laporan media setelah Kok mendedahkannya di Parlimen.
Walaupun telah membayar kompaun, Khairuddin kini masih dalam siasatan polis dan telah memberikan kenyataan kepada Bukit Aman selepas Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata bahawa pihak berkuasa harus menyiasat dakwaan tersebut tanpa rasa takut atau pilih kasih.
Awal hari ini, veteran DAP Lim Kit Siang juga turut menuntut penjelasan berhubung tindakan melanggar kuarantin oleh Khairuddin, beliau menimbulkan persoalan sama ada menteri itu dan mereka yang bersama beliau ke Turki perlu memakai gelang merah jambu yang wajib untuk mereka yang diarahkan menjalani kuarantin, dan mengapa mereka tidak diasingkan mengikut prosedur. – 29 Ogos, 2020.
Komen