KEPUTUSAN Bersatu untuk menerima kemasukan ahli bukan Melayu adalah berita buruk kepada MIC, kerana parti kaum India itu kini berdepan sebuah lagi parti politik yang merebut sokongan orang India, kata M Saravanan.
Timbalan presiden MIC yang meluahkan kekecewaan dengan tindakan Bersatu itu berkata, sekarangpun sudah ada parti politik kaum India yang memperjuangkan hak komuniti minoriti itu.
Tambahnya, Bersatu yang merupakan sekutu MIC dalam blok pemerintah sepatutnya hanya memberi tumpuan kepada perjuangan hak orang Melayu.
“Sekarang sudah ada beberapa parti India yang diluluskan kerajaan.
“Jika ada lagi komponen baharu, komuniti India yang kecil di Malaysia akan terpecah lagi kepada banyak parti dan ia tidak bagus untuk komuniti,” katanya.
Sabtu lepas, Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin berkata Bersatu akan menyemak semula Perlembagaannya untuk membenarkan semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum atau agama untuk menjadi ahli dan kepimpinan parti.
Bersatu dibentuk untuk memenuhi keperluan parti politik orang Melayu dan Islam dalam Pakatan Harapan sebelum ia keluar Februari lalu, sebagaimana Umno dalam Barisan Nasional.
Muhyiddin berkata kajian akan dibuat jawatankuasa diketuai Rais Yatim sebelum dibincangkan dalam Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu.
“Dalam mesyuarat MPT Bersatu yang lalu, saya telah bawa usul untuk membolehkan ahli-ahli bersekutu sama-sama menyumbang, bukan setakat menjadi ahli biasa bersekutu tapi berperanan memberikan idea dan pandangan dan terlibat bersama-sama dalam kepimpinan iaitu cadangan untuk bentuk ‘chapter’ baharu dalam Bersatu.
“Ini membolehkan ahli-ahli bersekutu yang menyertainya, bersama-sama memegang jawatan dalam parti dan menyumbang idea untuk memajukan parti dan negara,” kata Muhyiddin.

Saravanan berkata terdapat hanya sekitar dua juta orang India di negara ini dan komuniti itu kecil saiznya.
“Apa akan jadi jika bahagikan (pengundi India) kepada 20 parti…ia tak bagus.
“Mengapa orang India perlukan banyak sangat parti? Ia memecahkan kami. Mereka (Bersatu) patut terus kekal sebagai parti Bumiputera dan membantu orang Melayu.”
Saravanan yang juga menteri sumber manusia, berkata beliau sudah menyuarakan ketidakpuasan hatinya bekas timbalan presiden PKR Mohamed Azmin Ali yang baharu masuk Bersatu dan Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainuddin.
“Saya sudah beritahu kebimbangan dan kekecewaan saya, dan kata mereka (Bersatu) tak patut buat begini.
“Kami (MIC) tak senang Bersatu jadi parti pelbagai kaum.”
Saravanan juga menjelaskan yang MIC tiada masalah dengan Muafakat Nasional yang terdiri daripada tiga parti besar Melayu- Umno, PAS dan Bersatu- dalam blok pemerintah.
“Kami okay dengan Barisan Nasional, dan dalam MN, kami akan masuk sebagai parti BN. Baguslah sebab kami bekerjasama sudah lama.
“Kami tiada masalah bekerja dengan semua parti komponen tetapi saya rasa ini bukanlah masanya untuk Bersatu jadi parti pelbagai kaum.”

MIC sepatutnya menyertai PN, tetapi semalam mengumumkan mereka tidak akan masuk blok pemerintah itu.
Setiausaha Agungnya M Asojan sudah memaklumkan keputusan itu kepada Pendaftar Pertubuhan (RoS) pada 24 Ogos.
Asojan menulis yang MIC pada mulanya bersetuju menyertai PN pada 15 Julai kerana mengandaikan yang BN juga akan menyertai gabungan pemerintah yang diterajui Bersatu itu.
“Oleh kerana Umno tidak berhasrat untuk menyertai Perikatan Nasional pada 29 Julai 2020, maka keputusan Majlis Tertinggi MIC pada 10 Julai 2020 tidak boleh digunapakai dalam penyertaan keanggotaan Perikatan Nasional,” katanya dalam surat dilihat The Malaysian Insight.
Rais, yang mengetuai jawatankuasa kajian Bersatu tentang ahli bukan Melayu berkata partinya tidak merancang menjadi parti pelbagai kaum tetapi mempertimbangkan pilihan menubuhkan sayap baharu untuk ahli bersekutu bukan Melayu sahaja.
Langkah itu membolehkan parti mempunyai ahli pelbagai latar belakang dan pilihan kerusi dalam pilihan raya.
“(Tugas jawatankuasa) hanya untuk melebarkan kedudukan ahli bukan Melayu dalam struktur ahli bersekutu yang sedia ada. Ia akan jadi satu lagi payung.
“Mereka bukan menyertai parti untuk jadi ahli penuh. Ahli bersekutu mempunyai peranan yang terhad,” katanya. – 28 Ogos, 2020.
Komen