PEMIMPIN kontroversi Umno Jamal Md Yunos ditahan polis malam ini kerana didakwa membakar kadbod gambar bekas menteri Zaid Ibrahim Rabu lepas.
Sumber polis mengatakan yang Jamal ditahan atas kesalahan itu tidak lama selepas membuat laporan polis terhadap Zaid di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi.
Jamal mendakwa Zaid menerusi akaun Twitternya mempersoalkan titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang mengkritik bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkaitan kenyataannya tentang masyarakat Bugis.
Sumber turut mengatakan yang Jamal ditahan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) selepas majlis penutup Perhimpunan Agung Umno petang tadi.
Dia ditahan sekumpulan anggota polis daripada Bahagian Jenayah Berat (D9) Kuala Lumpur dan akan diserahkan kepada pasukan polis Dang Wangi untuk soal siasat.
Difahamkan yang Jamal sedang disiasat di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana provokasi dan di bawah Seksyen 14 Kesalahan Kecil.
Dia dijangka direman esok tetapi semuanya bergantung kepada hasil soal siasat polis malam ini.
Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun pada Jumaat memberitahu The Malaysian Insight yang polis sudah menerima laporan berhubung tindakan terbaru Jamal di PAU pada Khamis dan Jumaat apabila dia membakar kadbod gambar Zaid dan mengugur untuk memecahkan kepala bekas menteri itu dengan tukul besi kerana komennya mengenai titah Sultan Selangor.
Mohamad Fuzi berkata polis akan memutuskan sama ada akan memanggil atau tidak Jamal untuk soal siasat selepas menyiapkan siasatan awal kejadian itu, menambah yang tiada perlindungan polis diberikan kepada Zaid buat masa sekarang.
“Kita tak boleh jaga 24 jam…biar polis siasat Jamal dahulu sebelum putuskan sama ada dia (Zaid) perlukan perlindungan polis atau tidak,” katanya.
Susulan tindakan Jamal itu, Zaid meluahkan kebimbangan yang keselamatan dirinya dan keluarganya terancam menerusi akaun Twitternya dan “berharap ketua polis negara akan jaga keselamatan kami.”
Zaid sebelum ini menimbulkan kemurkaan Sultan Selangor selepas dia memberitahu Sultan supaya lebih berhati-hati dalam mengkritik Dr Mahathir Mohamad.
Zaid menerusi akaun Twitternya sebelum ini mengatakan: “Sultan Selangor perlu berhati-hati dengan titah-titah baginda, tiada siapa yang kebal apabila negara terbakar,” mengulas tentang wawancara Sultan dengan akhbar The Star apabila baginda bertitah yang “kemarahan Dr Mahathir boleh membakar seluruh negara.”
Jamal sebelum ini pernah ditahan berkaitan provokasi perhimpunan Bersih pada 2016, pada 2015 pula dia ditahan di bawah Seksyen 105 Kanun Acara Jenayah kerana kenyataan bahawa rusuhan akan berlaku di Petaling Street.
Sebelum penahanan malam ini, dia juga ditahan pada 6 Oktober lalu kerana tindakannya memecahkan botol arak di depan Bangunan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor kerana kesalahan perhimpunan haram tetapi dibebaskan selepas tiga hari direman. – 9 Disember, 2017.
Komen