PENDUDUK Kampung Chubadak Tambahan perlu jemput Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa tinggal seminggu di kampung mereka untuk mengalami sendiri keadaan hidup yang daif, kata aktivis veteran Ishak Surin.
Ishak yang merupakan bekas ahli PAS memberitahu penduduk hari ini bahawa menteri perlu lihat sendiri keadaan hidup penduduk di perkampungan Melayu lama berhampiran Sentul di Kuala Lumpur itu.
“Tulis surat kepadanya, minta dia datang tinggal seminggu di sini, agar dia tahu keadaan hidup di sini.
“Kalau perlu piket, kita buat, asalkan dia datang dan tinggal di sini. Lihat keadaan di sini. Lopak sana sini. Tiada perparitan atau pembetungan yang teratur.
“Jika hujan selama dua jam, rumah kamu akan dipenuhi air. Berapa lama lagi kamu nak tinggal dalam keadaan begini? Berapa lama kamu perlu tunggu?,” katanya ketika berucap hari ini.
Perkampungan yang dihuni kumpulan B40 itu dikelilingi bangunan apartmen dan kondominium.
Ishak turut menggesa penduduk agar bersatu untuk memperjuangkan nasib mereka.
“Sekiranya ada satu keluarga yang tidak terima unit rumah, semua penduduk jangan terima. Kalau seorang dapat, semua penduduk juga perlu dapat.
“Kita perlu bersatu. Perjuangan ini untuk kita semua.
“Keadilan adalah untuk semua bukan sesetengah pihak sahaja.” – 23 Ogos, 2020.
Berita penuh di sini.
Komen