PENDUDUK sebuah perkampungan Melayu lama di Kuala Lumpur menggesa pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan pemaju agar lebih telus daam program banci dan pampasannya selepas ramai yang masih tertanya-tanya mengenai status kediaman mereka.
Penduduk Kampung Chubadak Tambahan, Kuala Lumpur meemberitahu The Malaysian Insight, mereka masih belum menerima tawaran daripada pemaju tempatan - Sentul Murni Sdn Bhd - untuk memiliki apartmen kos rendah selepas pemaju membeli tanah di kawasan berkenaan untuk tujuan pembangunan.
Dalam satu pertemuan di Kampung Chubadak Tambahan hari ini, ada penduduk yang mendedahkan mereka ditawarkan unit di Program Perumahan Rakyat (PPR) dari Sentul Murni dan bukan apartmen yang dipilih dari projek berkenaan.
Malah ada yang mendakwa terdapat keluarga yang menerima tiga unit rumah berbanding satu unit untuk sebuah keluarga.
“Apa yang kami mahukan adalah ketelusan dan keadilan. Kami penduduk asal Kampung Chubadak Tambahan. Apa yang kami amahu adalah pemaju mendengar keluhan kami. Kami tidak menentang sebarang pembangunan, tetapi kami layak untuk menerima pampasan sewajarnya,” kata ketua kampung Shaikh Mahsur.
“Kebanyakan daripada kami masih belum menerima tawaran, kalau ada yang terima tawaran pun ia adalah unit PPR dan bukan apartmen yang dijanjikan kepada kami sebelum ini. Malah ada yang terima tiga unit rumah PPR untuk satu keluarga. Terlalu banyak percanggahan yang perlu diselesaikan,” katanya.
Kampung Chubadak Tambahan dibuka pada 1963, sebelum Wilayah Persekutuan diwujudkan.
Pada 1993, kerajaan Barisan Nasional menyerahkan tanah kepada Pemaju STLR yang kemudian ditukar nama kepada Sentul Murni Sdn Bhd.
Penduduk Kampung Chubadak telah memohon geran tanah daripada kerajaan Selangor daripada 1963 hingga 1972.
Terdapat 190 penduduk di Kampung Chubadak yang dikelilingi bangunan apartmen dan kondominium.
Nor Sakiela Mat Sukur yang merupakan penduduk generasi kedua Kampung Chubadak berkata majoriti penduduk di kampung berkenaan tidak menentang sebarang program pembangunan.
“Masalahnya sekarang ialah penyelesaian. Terdapat banyak percanggahan. Program bancian tidak telus. Ada keluarga yang mendapat tiga unit rumah, dan ada yang langsung tidak dapat. Bagaimana ini boleh berlaku,” katanya.
Mohd Furhan merupakan salah seorang penduduk yang tidak menerima sebarang tawaran daripada pemaju.
“Saya sudah 39 tahun tinggal di sini. Ibu bapa saya berasal dari sini. Saya membesar di sini tetapi saya tidak mendapat sebarang keadilan. Mereka mahu bangunkan kawasan ini dan kami terpaksa berpindah namun tiada pampasan.”
“Bila kami tanya kepada pihak Dewan Bandaraya, mereka kata nama saya tiada dalam senarai penerima dan hingga kini saya tidak terima surat tawaran,” katanya.
Kampung Chubadak Tambahan kini dalam keadan teruk. Kampung berkenaan berada dalam kawasan kerap berlaku banjir dan tiada kemudahan kebersihan yang teratur termasuk perparitan.
Warga asing terutamanya dari Indonesia turut tinggal di kawasan berkenaan sejak bertahun lalu dan ada yang berkahwin dengan warga tempatan.
Aktivis veteran Ishak Surin yang turut hadir pada pertemuan itu menggesa penduduk agar bersatu dalam menuntut hak mereka.
Beliau berkata satu-satunya cara untuk pemaju mendengar luahan mereka adalah dengan bersatu padu.
“Jika ada satu keluarga yang tidak dapat unit rumah, maka semua penduduk di sini jangan terima sebarang unit rumah. Kalau ada yang daoat maka semua perlu dapat.”
“Kita perlu bersatu Ini adalah perjuangan untuk kita semua. Keadilan adalah untuk semua dan bukan pihak tertentu sahaja,” kata Ishak yang juga dikenali sebagai Cikgu Ishak Surin.
Sementara itu, Ahli Parlimen Batu P. Prabakaran berkata, beliau telah mengambil beberapa pendekatan untuk berbincang dengan pemaju ketika Pakatan Harpan masih berkuasa, namun sejak pertukaran kerajaan usaha itu menjadi semakin sukar.
“Apa yang kita mahu ialah rundingan. Ketika PH berkuasa, kita berbincang dengan menteri Wilayah dan Datuk Bandar. Masih ada ruang untuk perjumpaan.”
“Kita buat bancian sendiri yang diketuai pasukan saya dan penduduk Kampung Chubadak, kami ajukan angka yang diperoleh namun mereka tidak gunakan data yang kami kumpul.”
“Ia sangat mengecewakan apabila hak rakyat tidak diambil serius,” katanya. – 23 Ogos, 2020.
Komen