Kumpulan anti korupsi desak budaya surat sokongan dihentikan


Ragananthini Vethasalam

Perikatan Nasional perlu menghantar mesej yang budaya surat sokongan sudah tidak diterima. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Ogos, 2020.

BUDAYA politikus mengeluarkan surat sokongan untuk meraih jawatan atau projek tertentu perlu dihentikan, kata Presiden Transparency-International Malaysia (TI-M) Dr Muhammad Mohan.

“Dengan pembongkaran kes terbaru apabila surat sokongan dikeluarkan untuk anak lelaki timbalan menteri supaya dilantik sebagai ahli lembaga pengarah adalah satu bentuk nepotisme,” katanya kepada The Malaysian Insight.

“TI-Malaysia mendesak semua pihak terutama menteri, menteri kanan dan perdana menteri supaya langsung tidak mengulas surat (menyatakan sokongan) seperti itu sebaliknya membuangnya terus ke dalam tong sampah,” tambahnya.

“Ini akan menghantar mesej kuat kepada penghantar (surat) yang budaya lama surat sokongan bukan lagi budaya kerajaan. PM perlu hantar mesej jelas kepada Kabinetnya yang surat sebegitu dilarang.”

Beliau turut mendesak supaya pengerusi dan ahli lembaga pengarah syarikat berkaitan kerajaan supaya lebih berani menolak cadangan daripada surat sokongan, selaras dengan prinsip tadbir urus korporat yang baik.

Sementara itu, Ahli Majlis Pimpinan Tinggi Bersatu Dr Muhammad Faiz Naaman berkata surat sokongan adalah amalan dalam politik yang sudah lama diamalkan.

Ia boleh dilihat sebagai cara wakil rakyat atau pemimpin memberikan bantuan, katanya kepada The Malaysian Insight.

“Apa yang boleh dipertikaikan adalah penandatangan atau penulis surat ada hubungan kekeluargaan dengan penerima. Ia boleh dianggap nepotisme,” katanya.

Ketua Pemuda Umno Dr Asyraf Wajid Dusuki pula menerusi coretan di Facebooknya berkata budaya surat sokongan tidak adil dan tidak sepatutnya jadi budaya

Kontroversi surat sokongan tercetus apabila sepucuk surat ditulis Timbalan Menteri Pertahanan Ikmal Hisham Abdul Aziz meminta sokongan Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob supaya anak lelakinya dilantik ke dalam Lembaga Pengarah Pharmaniaga Bhd.

Surat bertarikh 5 Jun mengandungi nota tulisan tangan Ismail Sabri itu menyatakan persetujuannya yang diminitkan kepada pengerusi Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).

Ismail, bagaimanapun, mempertahankan tindakan Hisham, berkata yang timbalan menterinya itu boleh sahaja melantik anak lelakinya tetapi memilih untuk tidak berbuat demikian dan menyalah guna kuasanya.

Pharmaniaga adalah anak syarikat Boustead Holdings Berhad. LTAT adalah pemegang kepentingan utama dalam Boustead dan kepentingan kecil dalam Pharmaniaga.

Pharmaniaga dalam pemfailan kepada Bursa Malaysia pada 3 Ogos lalu memaklumkan yang Azhar Ahmad, Najmil Faiz Mohamed Aris dan Zulkifli Jafar dilantik sebagai pengarah bebas dan bukan eksekutif, menggantikan ahli lembaga pengarah yang bersara.

Sebelum ini, negara digemparkan dengan tindakan Ketua Pemuda Bersatu yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang berjanji mengeluarkan surat sokongan ketika berkempen dalam pemilihan parti.

Wan Fayhsal bagaimanapun mempertahankan tindakan itu, mendakwa janji itu dibuat dalam konteks membantu belia terutama di kawasan luar bandar mendapatkan bantuan kerajaan. – 23 Ogos, 2020. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen