PERDANA Menteri Najib Razak membayangkan bahawa Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) mungkin akan diadakan lebih awal sebelum Jun tahun depan.
“Semua orang tahu bahawa had tempoh untuk adakan pilihan raya sebelum Jun,” kata Najib pada sidang media selepas menutup persidangan Perhimpunan Agung Umno Ke-71 hari ini.
Beliau ditanya mengenai amanatnya dalam sesi taklimat tertutup kepada para perwakilan ketika pembukaan rasmi perhimpunan itu Selasa lalu.
Difahamkan, Najib dalam sesi taklimat itu memberitahu para perwakilan supaya tidak ke mana-mana pada Januari.
Ditanya sekiranya ia bermaksud bahawa pilihan raya akan diadakan pada Januari, Najib bagaimanapun terus berteka-teki.
Najib berkata ucapannya juga boleh membawa pelbagai maksud atau terjemahan.
“Ia mungkin membawa maksud tak pergi mana-mana sebab banjir,” katanya.
Mandat lima tahun kerajaan bagi penggal Parlimen sekarang berakhir pada 24 Jun 2018.
Selain itu beliau juga yakin dapat memenangi semula majoriti dua pertiga dalam PRU14 nanti kerana menurutnya pembangkang kini berdepan masalah manifesto dan kepimpinan.
Beliau juga ditanya mengenai pendirian Putrajaya yang membantah tindakan Amerika Syarikat mengisytiharkan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.
Katanya, meskipun Malaysia membantah tindakan tersebut, ia tidak menjejaskan kerjasama dua hala dengan Amerika Syarikat.
“Kerjasama dengan Amerika Syarikat ia pelbagai kerjasama ‘multidimensional’.
“Banyak aspek lain boleh kerjasama. Tapi soal prinsip kita tetap dengan pendirian (sendiri),” katanya.
Sebelum ini, PKR menggesa Putrajaya memutuskan hubungan diplomatik dan perdagangan dengan Amerika Syarikat sebagai bukti keseriusan Malaysia mengutuk tindakan negara itu dalam isu Baitulmaqdis.
Menurutnya lagi, pendirian Malaysia juga selari dengan suara dunia yang turut membantah tindakan tersebut.
“Difahamkan bukan saja org Islam tapi orang Kristian pun tak senang hati dengan pengumuman tersebut.
“Eropah pun hampir semua tak setuju. Maknanya bukan saja negara Islam tapi negara bukan Islam pun tak setuju (dengan) langkah tersebut.” – 9 Disember, 2017.
Komen
Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Ujang Mohd · Ulasan