PUTRAJAYA patut menggantung apa-apa hubungan sama ada komersial mahupun diplomatik dengan pentadbiran Donald Trump berhubung isu Presiden Amerika Syarikat itu yanng mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel, kata Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar.
Beliau berkata, Perdana Menteri Najib Razak yang kononnya “bersahabat baik” dengan Trump, patut menggunakan peluang diplomatik dan ekonomi Malaysia bagi mengutuk tindakan Trump itu.
“Najib Razak patut tunjukkan hubungannya dengan Presiden Trump itu tak sampai menggugat demokrasi dan dunia Islam.
“Di peringkat kerajaan, di Malaysia dan di mana-mana, keperluan untuk mengambil tindakan seperti penggantungan komitmen komersial dan diplomatik dengan pentadbiran Trump perlu diambil kira.
“Juga, bagi menunjukkan contoh kepimpinan Malaysia iaitu dengan menggantung sebarang komitmen berkaitan dengan Presiden Trump, jika tidak ada tindak balas dari beliau berkaitan proses damai untuk rakyat Palestin,” katanya.
Kementerian Luar Malaysia telah mengutuk keputusan Trump sementara Najib berkata Putrajaya dan orang Islam seluruh dunia tidak akan menerima sama sekali Baitulmaqdis dijadikan sebagai ibu negara Israel.
Nurul Izzah turur menggesa Najib menaikkan isu ini ke peringkat antarabangsa, dalam Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.
“Ini adalah langkah penting yang diharap dapat mengelakkan sebarang ketegangan jangka panjang di rantau itu.
“Langkah ini juga sekurangnya akan menunjukkan rakyat Malaysia tidak sependapat dengan Presiden Trump yang tidak mengendahkan rakyat Palestin dan rakyat di timur Baitulmaqdis,” kata Ahli Parlimen Lembah Pantai itu. – 8 Disember, 2017.
Komen