AS iktiraf Jerusalem jejas perjuangan menentang keganasan


Malaysia sangat bimbang dengan keputusan Presiden Donald Trump untuk mengiktiraf Jerusalem sebagai ibu kota Israel. – Gambar AFP, 7 Disember, 2017.

LANGKAH Amerika Syarikat (AS) mengiktiraf Jerusalem sebagai ibu kota Israel akan menambah lagi sentimen kemarahan dan merumitkan usaha memerangi keganasan, kata Kementerian Luar Malaysia, sekali gus mendesak pentadbiran Presiden Donald Trump mempertimbangkan semula keputusan itu.

Wisma Putra berkata keputusan Trump yang diumumkan semalam, akan mengakhiri semua usaha yang dibuat dalam mencapai keamanan di Timur Tengah, yang berpusat kepada persoalan tentang rakyat Palestin.

“Malaysia sangat bimbang tentang laporan mengenai keputusan AS untuk mengiktiraf Jerusalem sebagai ibu kota Israel,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan hari ini.

“Ia akan sangat menjejaskan bukan saja keselamatan dan kestabilan wilayah itu, tetapi turut membangkitkan sentimen, menyukarkan lagi usaha memerangi keganasan.”

Katanya, semua anggota Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) perlu tidak mengiktiraf sebarang perubahan terhadap sempadan Israel pra 1967, termasuk Jerusalem.

Wisma Putra juga membantah sebarang usaha untuk membuka atau memindahkan misi diplomatik ke Jerusalem, menggelar tindakan itu sebagai “pencerobohan bukan saja terhadap Arab dan umat Islam, tetapi ia juga pelanggaran hak Muslim dan Kristian”.

Trump semalam mengumumkan AS mengiktiraf Jerusalem sebagai ibu kota Israel, menyatakan ia “permulaan pendekatan baharu kepada konflik antara Israel dan Palestin”.

Beliau juga mengarahkan Jabatan Negeri AS memulakan persediaan untuk memindahkan kedutaan AS dari Tel Aviv.

Wisma Putra berkata keputusan itu akan melanggar hak rakyat Palestin untuk menentukan nasib sendiri, tambahan kepada pelanggaran undang-undang antarabangsa dan resolusi Majlis Keselamatan PBB berhubung status Jerusalem, yang dikehendaki oleh kedua-duanya, Palestin dan Israel sebagai ibu kota mereka.

“Untuk mengiktiraf Jerusalem sebagai ibu kota Israel, ia bukan pengiktirafan bagi realitinya di situ. Ia hanya satu ekspresi sokongan kepada dasar Israel, yang mana banyak daripadanya melanggar undang-undang antarabangsa. Ia mungkin tidak betul,” kata kementerian itu. – 7 Disember, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen