PAS masuk Perikatan Nasional, kata Takiyuddin


Mohd Farhan Darwis

Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan ketika bercakap kepada pemberita selepas majlis penyerahan watikah pelantikan anggota SIAP di Putrajaya hari ini.– Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 19 Ogos, 2020.

SETIAUSAHA Agung PAS Takiyuddin Hassan mengesahkan parti Islam itu menyertai Perikatan Nasional (PN) bersama Bersatu sebagai antara parti penaja gabungan politik baharu, yang muncul selepas perubahan politik hujung Februari lalu.

Beliau bagaimanapun tidak pasti sama ada Barisan Nasional (BN) yang diterajui Umno turut serta sebagai jawatankuasa penajanya.

“PAS ada, Bersatu ada (sertai PN). BN kena tanya BN, saya tidak pasti.

“(Tetapi) jawatankuasa penaja boleh mana-mana pihak, lepas ditubuhkan (PN) ahli lain boleh masuk,” katanya kepada pemberita di Putrajaya, hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu ditemui selepas majlis penyerahan watikah pelantikan anggota Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (SIAP).

Naib Presiden Bersatu Abdul Rashid Asari baru-baru ini dilapor berkata pendaftaran PN sudah dihantar kepada RoS pada awal Ogos dan keputusan pendaftarannya akan diketahui dalam masa terdekat.

The Malaysian Insight difahamkan pendaftaran berkenaan telah diluluskan oleh RoS pada minggu lalu.

Sumber yang maklum mengenai proses pendaftarannya juga memberitahu satu kenyataan rasmi mengenai penubuhan PN akan dikeluarkan dalam masa terdekat selepas mesyuarat rasmi jawatankuasa penaja yang pertama minggu ini.

Ketua Pemuda Bersatu yang baru terpilih Wan Ahmad Fahysal Wan Ahmad Kamal baru-baru ini juga berkata PAS akan bersama PN walaupun Umno menolak untuk menyertai gabungan itu secara rasmi. Beliau membuat kenyataan itu dalam satu ucapan yang dirakam semasa kempen pemilihan parti.

Beliau juga berkata PN akan bertanding dalam pilihan raya negeri Sabah, yang ditetapkan pada 26 September ini, dan menggunakan logo gabungan itu.

Pada 30 Julai lalu, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata Umno tidak akan menyertai PN, jika ia didaftarkan, tetapi menyokong kerajaan yang dibentuk oleh gabungan itu di Putrajaya dan beberapa negeri.

Umno sebaliknya mahu memperkukuhkan kerjasama politik dengan PAS dalam Muafakat Nasional (MN) dan komponen BN yang lain.

BN kini dianggotai oleh Umno, MCA, MIC dan PBRS.

Sementara itu, ditanya mengenai penyertaan Bersatu dalam MN, Takiyuddin berkata tidak timbul isu jika terdapat ahli akar umbi mana-mana parti tidak bersetuju.

Ini kerana, jemputan untuk Bersatu menyertai MN dibuat bersama-sama oleh Zahid selaku presiden Umno dan Presiden PAS Abdul Hadi Awang.

“Saya sendiri dapat mengesahkan presiden Umno bersama presiden PAS tandatangan satu surat, jemput Bersatu masuk secara rasmi ke dalam MN. Surat itu dihantar kepada presiden Bersatu.

“Presiden Umno dan presiden PAS sama-sama buat surat jemputan kepada presiden Bersatu. Nak kata ahli akar umbi tak setuju tak bolehlah,” kata Takiyuddin.

Takiyuddin mengulas laporan memetik timbalan presiden Umno Mohamad Hasan berkata ahli parti tidak bersetuju Bersatu menyertai MN. Katanya, perkara itu akan dibincangkan dalam Biro Politik Umno sebelum dibawa ke Majlis Tertinggi parti.

MN adalah kerjasama rasmi antara PAS dan Umno yang dimeterai melalui piagam muafakat pada September 2019.

Pada 15 Ogos, Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin berkata Majlis Pimpinan Tertinggi partinya bersetuju untuk menyertai MN yang akan mendukung PN sebagai gabungan besar. – 19 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen