LEBIH dua pertiga pengilang akan melakukan pemotongan kos tenaga kerja dengan melaksanakan pemotongan gaji dan mengurangkan jumlah pekerja, kata Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM).
“Setakat Julai 2020, 17% pengilang sudah mengurangkan jumlah pekerja antara 10% sehingga 30%.
“Sementara 42% yang lain akan mengurangkan jumlah bekerja bermula tahun depan melibatkan antara 10% hingga 20% pekerja mereka,” kata Presiden FMM Soh Thian Lai pada sidang media di Kuala Lumpur, hari ini.
Bulan lepas, Jabatan Perangkaan melaporkan yang kadar pengangguran bertambah kepada 5.3% pada Mei melibatkan 826,100 orang pekerja.
Tambah Soh lagi, 53% pengilang terlibat dalam kajian mengatakan mereka akan melakukan pemotongan gaji, kebanyakannya melibatkan potongan gaji sebanyak 5% hingga 20% untuk pengurusan tertinggi dan 10% untuk pekerja lain.
Data itu adalah hasil kajian Tinjauan Persekitaran Perniagaan FMM-MIER dibuat bulan lepas.
Menurut Soh, 43% lagi pengilang juga sudah membekukan pengambilan pekerja dan 21% lagi bercadang membatalkan elaun dan faedah tidak wajib.
19% pengilang lagi berkata mereka akan membatalkan kontrak pekerja sambilan dan perkhidmatan luaran.
Kajian juga mendapati 17% pengilang sudah mengurangkan jumlah bekerja, memaksa cuti tahunan (16%) dan mengurangkan hari bekerja (17%). – 19 Ogos, 2020.
Komen