Kadar pengangguran meningkat pada Mei, kata Jabatan Perangkaan


KADAR pengangguran di Malaysia bertambah buruk antara April dan Mei hingga 5.3% yang menjejaskan sekitar 826,100 pekerja. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Julai, 2020.

KADAR pengangguran di Malaysia bertambah buruk antara April dan Mei hingga 5.3% yang menjejaskan sekitar 826,100 pekerja, kata Jabatan Perangkaan.

Peningkatan 0.3% dari April menjejaskan pekerja di sektor perkhidmatan, pelancongan, perancangan acara, hiburan dan sukan.

Ketua Perangkaan Malaysia Dr Mohd Uzir Mahidin dalam satu kenyataan mengenai angka tersebut bagaimanapun berkata peningkatan bulanan bilangan penganggur pada Mei adalah lebih rendah berbanding perningkatan dicatatkan bagi Mac ke April

“Peningkatan jumlah pengangguran pada Mei 2020 masih lebih rendah dari kenaikan dari Mac hingga April yang melibatkan peningkatan 168,300 orang.

“Pengurangan tersebut mungkin disebabkan oleh pelaksanaan pelbagai pakej rangsangan bagi mencapai sasaran tertentu di samping lebih banyak perniagaan yang dibenarkan beroperasi berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dalam bulan tersebut,” katanya. 

Uzir berkata jumlah pekerja yang tidak bekerja buat sementara waktu juga berkurang lebih separuh kepada 2.27 juta orang berbanding 4.87 orang pada April.

Beliau berkata kategori ini tidak dianggap sebagai penganggur kerana mereka mempunyai pekerjaan dan akan kembali semula bekerja.

Sementara itu bilangan tenaga buruh meningkat secara marginal sebanyak 1.8 ribu orang berbanding April kepada 15.7 juta orang.

Uzir berkata penyertaan tenaga kerja diharapkan dapat meningkat seiring langkah-langkah kerajaan untuk memulihkan ekonomi.– 14 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen