Tindakan roboh kotej Bukit Fraser permulaan yang buruk, kata penduduk


Alfian Z.M. Tahir

Bukit Fraser masih menjadi destinasi pelancongan dan percutian hujung minggu bagi penduduk Lembah Klang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Ogos, 2020.

PEMBINAAN pusat peranginan dan spa 14 tingkat di Bukit Fraser mungkin ditangguhkan buat sementara waktu tetapi kesan perobohan kotej Inggeris 1960-an untuk memberi jalan kepada projek berkenaan menjejaskan penduduk tempatan di kawasan ini.

Penduduk tempatan Nik Jassmin Hew memberitahu The Malaysian Insight, salah satu kesannya adalah gangguan sambungan Internet di kawasan itu kerana tiang telefon tumbang akibat kerja meroboh.

“Sambungan internet dan talian komunikasi terputus kerana tiang kabel tumbang. Tiada hubungan selama dua hari,” kata Hew yang juga adalah presiden Persatuan Alam dan Warisan Bukit Fraser (PAWBF).

Beliau memberitahu The Malaysian Insight yang berlaku kejadian tanah runtuh kecil di lokasi tersebut.

Minggu lalu, sebuah rumah gaya Inggeris dibina pada tahun 1960 yang menjadi rumah penginapan Maybank dirobohkan bersama Jelai Resort, yang merupakan kawasan popular untuk memerhati burung. Kedua-dua bangunan berkenaan dirobohkan bagi memberi laluan kepada pembinaan resort baharu itu.

Selepas protes, pegawai daerah Raub Mohammad Shahid Ismail berkata pihak pemaju sudah mendapat perintah pemberhentian kerja dan diberitahu untuk berunding dengan Jabatan Alam Sekitar mengenai aspek teknikal reka bentuk baharu.

Hew berkata PAWBF dan pemaju swasta sudah bertemu untuk perbincangan.

Beliau berkata PAWBF dimaklumkan pemaju tidak akan mengecilkan skala projek untuk membina resort 14 tingkat.

“Kami kini tahu yang pemaju tidak berganjak untuk meneruskannya tanpa mengecilkan skala reka bentuk. Mereka sedang membuat semakan, untuk menjadikannya lebih Inggeris, tetapi tidak akan mengurangkan jumlah bilik atau tingkat,” katanya.

Hew juga berkata pemaju enggan membuat laporan penilaian kesan persekitaran (EIA) kerana itu bukan syarat.

“Mereka boleh memilih untuk tidak membuat penilaian kerana Majlis Daerah Raub tidak memerlukan mereka menyerahkan laporan. Jadi kami bimbang.”

Bukit Fraser, sebuah stesen bukit yang terkenal semasa zaman penjajahan Inggeris terletak di antara pergunungan Pahang dan Selangor. Terletak dua jam perjalanan dari Kuala Lumpur, ia masih menjadi destinasi pelancongan dan percutian hujung minggu bagi penduduk Lembah Klang.

Hew berkata pendirian PAWBF jelas, tiada pembangunan baharu di kawasan itu yang boleh lebih tinggi daripada enam tingkat dan kerja pembinaan tidak boleh memakan masa lebih dari enam tahun.

“Kami mahu bangunan ini hanya mempunyai enam tingkat seperti resort lain di sini, dan ia tidak boleh menyebabkan kerosakan kepada persekitaran dan penduduk. Namun, beberapa kerosakan telah terjadi,” katanya.

Pemajunya, Ikhasas Group masih belum menjawab pertanyaan daripada The Malaysian Insight.

Jabatan Warisan Negara berkata pihaknya tidak pernah dibawa berunding oleh pemaju untuk membina projek resort dan spa bertingkat.

Ketua Pengarah Jabatan Mesran Mohd Yusop memberitahu New Straits Times yang agensi itu terkejut apabila mengetahui mengenai perobohan bangunan tersebut.

“Kami kecewa kerana bangunan warisan di stesen bukit itu kini hilang. Kami (jabatan) mungkin tidak dapat melakukan banyak perkara kerana bangunan itu dimiliki secara persendirian, tetapi jika jabatan dimaklumkan, kami akan dapat menyediakan maklum balas,” kata Mesran. – 18 Ogos, 2020.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen