212 aktivis alam sekitar dibunuh tahun lepas, kata laporan


Tahun 2019 menyaksikan lebih 212 pejuang alam sekitar di seluruh dunia dibunuh dan jumlahnya mungkin lebih tinggi kerana banyak kes tidak dilaporkan. – Gambar EPA, 29 Julai, 2020.

SEKURANG-KURANGNYA 212 pejuang alam sekitar di seluruh dunia dibunuh pada 2019, yang mencatat rekod sebagai tahun paling mengancam nyawa kepada aktivis barisan depan yang memerangi pemusnahan alam sekitar, kata kumpulan pemerhati Global Witness pada Rabu.

Jumlah di Colombia dan Filipina menyumbang lebih daripada separuh kematian yang disahkan - iaitu 64 dan 43 orang - diikuti oleh Brazil, Mexico, Honduras dan Guatemala.

Angka sebenarnya berkemungkinan lebih tinggi disebabkan kes yang tidak dilaporkan terutama di Afrika, kata NGO itu dalam semakan tahunannya.

Kira-kira 40% mangsa adalah penduduk pribumi, dan lebih dua pertiga meninggal dunia di Amerika Latin. Satu daripada sepuluh orang adalah wanita.

Selama beberapa dekad, masyarakat pribumi di hutan Amerika Tengah dan Selatan, Asia dan Afrika menyaksikan tanah nenek moyang dihancurkan dan dimusnahkan, kadang-kala dengan keizinan kerajaan yang korup.

Daripada 141 pembunuhan tahun lalu yang boleh dikaitkan dengan sektor ekonomi tertentu, lebih satu pertiga melibatkan pejuang yang memprotes operasi perlombongan, ada yang tidak sah.

Seramai 34 pembunuhan yang berkaitan dengan agribisnis berlaku di Asia, terutamanya Filipina.

Dua aktivis Indonesia ditikam hingga mati pada Oktober di sebuah ladang kelapa sawit di utara Sumatera.

Di Filipina, operasi polis menyebabkan kematian 14 petani ladang gula di pulau Negros pada Mac, hanya beberapa bulan selepas sembilan yang lain terbunuh dalam kejadian serupa.

Jumlah pembunuhan di Colombia meningkat dua kali ganda tahun lalu, sementara di Honduras meningkat daripada empat kepada 14 orang.

Negara tropika dan membangun bukanlah satu-satunya pusat serangan ganas terhadap mereka yang melindungi sumber semula jadi.

Di Romania, sebuah negara anggota EU, seorang renjer hutan yang bekerja di salah satu hutan simpan terbesar di Eropah ditembak mati kerana cuba melindungi pokok daripada kumpulan penjenayah terancang yang ingin menebangnya untuk mendapatkan keuntungan.– AFP, 29 Julai, 2020.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen