Jumlah jangkitan Covid-19 cecah 9,200 dengan 25 kes baharu


Malaysia hari ini mencatatkan 25 kes baharu Covid-19 menjadikan jumlah positif kepada 9,200. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Ogos, 2020.

MALAYSIA hari ini mencatatkan 25 kes baharu Covid-19 menjadikan jumlah positif kepada 9,200, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata terdapat 28 pesakit pulih menjadikan kes pulih sebanyak 8,859, sementara jumlah kes aktif dengan jangkitan Covid-19 sebanyak 216 kes.

“Dari 25 kes baharu yang dilaporkan, 16 kes import melibatkan 11 rakyat Malaysia dan lima warga asing,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata terdapat sembilan jangkitan tempatan yang melibatkan tujuh rakyat Malaysia dan dua warga asing. 

Menurutnya enam kes baharu dikesan dari kluster Tawar.

“Lima kes berasal dari Kedah sementara satu lagi dikesan di Pulau Pinang.

“Sementara itu dua warga asing di Kuala Lumpur didapati positif selepas menjalani pemeriksaan secara rawak oleh Pegawai Kesihatan Daerah di mana ia melibatkan pekerja restoran,” katanya.

Sehingga kini terdapat tujuh kes positif yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di mana dua kes memerlukan alat bantuan pernafasan.

Tidak ada peningkatan kes kematian Covid-19 yang dilaporkan hari ini.

Jumlah kematian di Malaysia akibat virus berkenaan kekal pada 125 kes. – 16 Ogos, 2020.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen