TIDAK ada laporan mengenai jangkitan berkaitan dengan perhimpunan di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur ketika bekas perdana menteri Najib Razak dijatuhkan hukuman atas jenayah berkaitan dengan SRC International lebih dua minggu lalu, kata Dr Noor Hisham Abdullah.
Ketua Pengarah Kesihatan berkata pada masa ini kementerian hanya menyaksikan kes-kes yang berkaitan dengan lawatan Hari Raya Aidiladha seperti kluster Sivagangga, Kurau dan Meranti.
“Kita tidak melihat trend peningkatan kes yang ketara. Yang paling penting, tidak ada laporan yang berkaitan dengan perhimpunan itu (perhimpunan solidariti untuk Najib).
“Kami masih memantau dan melakukan pengawasan setiap masa,” katanya.
Sementara itu Najib semalam di Facebook meluahkan rasa lega kerana tidak ada kluster yang dikaitkan dengan perhimpunan itu.
“Hari ini genap 15 hari selepas penghakiman mahkamah tinggi kes SRC saya.
“Ini bermakna tiada kluster Najib tercetus sebab tempoh inkubasi Covid 14 hari sudah berlalu,” tulis Najib di Facebook semalam.
Namun, dia mengingatkan para penyokong agar tidak mengulangi kesalahan itu tetapi terus mematuhi prosedur operasi standard untuk kebaikan semua.
Penyokong Najib berkumpul dalam jumlah besar di luar kompleks mahkamah di Kuala Lumpur pada 28 Julai, pada hari bekas perdana menteri itu dijatuhi hukuman 12 tahun penjara dan denda RM210 juta kerana penyalahgunaan kuasa, pecah amanah serta pengubahan wang haram dalam kes SRC International.
Kurangnya penjarakan sosial mendatangkan kemarahan Noor Hisham, yang memuat naik kenyataan di Twitter pada hari sama.– 13 Ogos, 2020.
Komen