Kemerdekaan itu cinta, bukan peperangan


Haris Hauzah

PADA 1952, lima tahun sebelum negara ini diisytihar merdeka, Usman Awang pernah menulis sesuatu berkenaan cabaran besar yang penduduk negara ini harus depani.

“Fikiran-fikiran untuk menghapuskan rasa perkauman di antara penduduk di Malaya itu semakin banyak diserukan dengan mendapat bantuan dan sokongan penuh daripada pihak pemerintah.

“Perpaduan di antara penduduk-penduduk Malaya – bagi pendapat-pendapat banyak orang – ialah untuk mempercepatkan Malaya berkerajaan sendiri dan pendapat lain ialah untuk menghapuskan suasana darurat di Malaya. Mana yang benar nanti tidaklah dapat diramal sekarang dengan tepat atau mungkin kedua-duanya benar.”

Itu adalah dua perenggan petikan cerpen Untuk Malaya Merdeka. Sebuah cerpen tentang sikap perkauman dan sifat perpaduan Malaya zaman tahun-tahun 50an.

Sebagai sebuah karya sastera yang tahu peranan dan fungsi, cerpen yang ditulis sasterawan negara ke-3 itu, penuh diserakkan dengan segala unsur pedagogi serta segenap elemen estetika, etika dan epistemologi.

Cerpen nakal keremajaan yang berakal budi ini memiliki dorongan moral bercitrakan perpaduan yang bernas dan kuat. Watak seperti Mary Mon, Marapathi, Zahrah, Halimah, Ainon, Kamal, Wong, Narasamy dan Lim jujur didudukkan pada jalur realiti prejudis dan jurang beda perkauman. 

Tulis Usman Awang lagi: “Kegiatan untuk menjadikan penduduk-penduduk Malaya satu rupa bangsa semakin menjalar dengan terbitnya penyata-penyata jawatankuasa Band (yang menyiasat hal ehwal pelajaran Melayu) dan Fen Woo (yang menyiasat hal ehwal pelajaran Cina) yang mencadangkan dasar pelajaran yang diarahkan untuk membentuk satu rupa bangsa.”

Usman Awang berteka-teki tentang gagasan idea yang dia letakkan sebagai akal dan tulang belakang cerpen ini. 

Idea mewujud dan memupuk kesatuan Melayu, Cina, India, Sikh, Iban, Kadazan sebegini telah tergambar lama sebelum Merdeka.

Wajah dan rupa anak kebangsaan Malaya (atau kini Malaysia) hasil pernikahan pemuda Melayu dengan seorang gadis Cina sengaja dibayang-bayangkan. Itu pun setelah cinta Marapathi seorang gadis India tak kesampaian lantas kerana pemuda Melayu tadi telah lebih dulu jatuh hati dengan anak Cina kelahiran Malaya. 

Ya, migrasi kaum di mana-mana sekalipun pasti mewujudkan percampuran resam yang diakhirkan dengan percintaan. Kisah sejarah migrasi orang Cina atau India ke Malaya sewajarnya hanya tinggal jadi sejarah. Penyesuaian dan penerapan resam yang berlaku lalu mewujudkan persahabatan, percintaan dan perkahwinan yang melahirkan suatu rupa bangsa berwajahkan kebangsaan. Malangnya ini amat payah sekali untuk kita lakukan.

“Kisah ini belum boleh dikatakan lama. Berlakunya beberapa minggu sudah terbentuk jawatankuasa Muhibbah antara kaum yang terdiri daripada wakin-wakil tiap-tiap kaum. Kira-kira tahun 1949, begitulah,” cerita Usman Awang.

“Jawatankuasa Muhibbah itu ialah untuk menjadikan satu rupa bangsa. Di antara penduduk-penduduk di Malaya ini yang bertujuan membawa pemuda-pemudi ke dalam satu rujukan hidup dengan perasaan kebangsaan Malayan.”

Seandainya Usman Awang masih hidup dan sempat menghirup udara yang penuh cemar dengan segala hapak benci perkauman pada bulan kemerdekaan, entah apalah yang bakalan Usman Awang tuliskan.

Saya percaya Usman Awang walau di hujung usia, uzur dan lelah, dia tidak akan betah melihat orang-orang politik bermain politik laknat. Berseronok-seronok dalam pejabat di dewan rakyat melompat-lompat. Paksa rela syarikat-syarikat berkaitan kerajaan untuk belanja mereka makan tengah hari sampai RM6,000 sekali makan. 

Sedangkan beberapa bulan dulu muka-muka politikus yang itu juga berlendir ketiak berdiri panas atas pentas. Menjerit-jerit ajak orang-orang Melayu berhimpun dan berarak di jalan sebab Melayu ditindas, Islam dicantas.

Permainan strategi politik mereka adalah perkauman. Senjata politik mereka adalah sentimen prejudis kaum untuk menerbitkan semangat bangsa yang berakhir dengan kemarahan.

Demi kelebihan dan kepentingan politik sempit parti, segala hal-hal bahasa dan pendidikan dimanafaatkan. Jawi, UEC, sekolah kebangsaan dan jenis kebangsaan pun didengungkan dengan bunyi-bunyi yang menyenakkan perasaan.

Kata mereka semuanya sudah melampau dan segalanya sudah keterlaluan. Puncanya sebab ada Cina DAP dalam kerajaan yang senang-senang bagi jalan. Sampaikan tanglung yang digantung di sekolah pun jadi modal politik yang dipanas-panaskan. Sampai habis semua kita jadi bahan bakar yang menghangusrentungkan semangat perpaduan. 

Lalu roh kemerdekaan yang pernah Usman Awang tulis dalam cerpen Untuk Malaya Merdeka ini pun musnah lunyai.

Saya rindukan peristiwa ini – ketika kita dapat melihat yang tua, yang muda, yang kecil dan yang dewasa, berlari-larian, bersantai dan sama-sama bersaing bermain dan bersukan keriangan di pantai sebagaimana yang Usman Awang gambarkan.

“Berkejar-kejar di pantai yang berpasir putih. Mary Mon, Marapathi, Zahrah, Halimah, Ainon dan beberapa wanita lagi mencari siput.”

“Sambil itu mereka bergurau senda. Segala kelakuan gadis antara kaum itu semuanya menarik hati belaka. Begitu juga hal kami lelakinya. Wong, Lim, Narasamy, Kamal, saya dan lain-lain berkejar-kejar macam anak-anak kecil bergurau senda, tertawa terbahak-bahak. Semuanya sederhana tetapi gembira dan ramah mesra.”

Mereka tidak sedikit pun ada rasa segan dan silu menunjukkan mereka Melayu, India atau Cina. Mereka bangga jadi diri mereka. Anak-anak Malaya yang tidak ada sedikit pun perasaan perkauman yang hanyir lagi menjijikkan.

Sayangnya, itu hanya gambaran yang Usman Awang perikan pada tahun 1952 – pada zaman politik belum jadi ajaran-ajaran khianat dan rasuah yang menyesatkan.

Sayangnya, itu semua hanyalah gambar-gambar dalam cerpen Untuk Malaya Merdeka yang rupa paras bangsanya segak penuh gaya dengan corak kebangsaan Malayan, yang menurut Usman Awang, semua itu adalah bibit dan babak-babak kejadian yang jadi ‘perintis jalan’ untuk menuju kemerdekaan.

Saya lebih suka melihat peristiwa itu berbanding melihat jet perang yang terbang. Melihat ratusan kenderaan tentera dan kereta kebal menjalar dengan segerombolan askar lengkap berpakaian perang. – 16 Ogos, 2020.

* Haris Hauzah, pengamat filem dan Ahli Sidang Utama Komuniti Filem Titiwangsar (Komfit).

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen