Kembalikan kedaulatan undang-undang jadi agenda utama Amir Khusyairi


Chan Kok Leong

Calon Pejuang Amir Khusyairi Mohamad Tanusi (tengah) ketika hadir pada proses penamaan calon PRK DUN Slim di Tanjung Malim hari ini.– Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 15 Ogos, 2020.

BERSATU sudah hilang hala tuju dan tujuan apabila pimpinannya memutuskan untuk bekerjasama dengan Umno, kata Amir Khusyairi Mohamad Tanusi.

“Perkara yang perlu (untuk saya) lalukan adalah berjuang untuk mengembalikan kedaulatan undang-undang,” kata calon Pejuang pilihan raya kecil Slim yang bermula hari ini. 

Peguam berusia 38 tahun itu memberitahu The Malaysian Insight beliau meletakkan jawatan dari Bersatu dan menyertai Pejuang untuk mengekalkan integriti politik dan kedaulatan undang-undang.

“Saya harap pengundi akan memilih calon yang ada kredibiliti, pemimpin muda dan calon yang boleh berkhidmat untuk mereka,” kata Amir, selepas disahkan sebagai salah seorang daripada tiga calon yang akan bertanding di kerusi itu. 

Kerusi DUN Slim kosong pada 15 Julai berikutan kematian penyandangnya Mohd Khusairi Abdul Talib dari Barisan Nasional di Hospital Bentong, Pahang. 

Selain Amir, dua lagi calon adalah pemangku ketua bahagian Umno Tanjung Malim Mohd Zaidi Aziz dan calon bebas Santhara Segaran Subramaniam.

Amir bagaimanapun tidak bertanding di bawah Pejuang namun sebagai calon bebas kerana parti itu masih belum mendapat kelulusan Pendaftar Pertubuhan. 

Pejuang mula ditubuhkan oleh bekas pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad selepas beliau dipecat berikutan pertelingkahan dengan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Selepas membawa Bersatu keluar dari Pakatan Harapan untuk bekerjasama dengan Barisan Nasional dan membentuk kerajaan Perikatan Nasional, Muhyiddin kemudian memecat Dr Mahathir bersama lima ahli Parlimen Bersatu lain yang tidak menyokong keputusannya. 

Mengenai peluang yang ada, Amir berkata beliau berharap bekas ahli Bersatu akan akan sukakanya dan datang dari seluruh negara untuk membantunya berkempen. 

“Slim terdiri daripada 74% Melayu luar bandar. Peneroka tidak boleh hanya bergantung kepada Felda sahaja. 

“Saya harap dapat membantu mereka untuk menggunakan tanah dengan lebih baik dan meningkatkan pendidikan dalam kalangan belia,” katanya yang merupakan lulusan bidang perundangan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Hari mengundi PRK Slim di Perak ditetapkan pada 29 Ogos manakala undi awal pada 25 Ogos. – 15 Ogos, 2020.


 



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen