PEGUAM lulusan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Amir Khusyairi Mohamad Tanusi diumumkan sebagai calon bebas mewakili kumpulan Dr Mahathir Mohamad bertanding dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim.
Amir Khusyairi, 38, menerima watikah pencalonan daripada Dr Mahathir dalam majlis memperkenalkan calon di Slim River, Perak, malam ini. Majlis dihadiri lebih 200 orang.
Majlis pengumuman turut dihadiri Presiden Amanah Mohamad Sabu, Setiausaha Organisasi DAP Anthony Loke dan Ahli Parlimen Tanjung Malim Chang Lih Kang.
Dr Mahathir turut diiringi ahli Parlimen bekas Bersatu yang menyokongnya antaranya bekas timbalan presiden parti Mukhriz Mahathir, bekas ketua Pemuda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Dr Maszlee Malik, Dr Shahruddin Md Salleh dan Amiruddin Hamzah.
Pengumuman calon bebas kem Dr Mahathir malam ini dibuat beberapa jam selepas Barisan Nasional (BN) mengumumkan calon mereka iaitu Timbalan Ketua Umno Bahagian Tanjung Malim Mohd Zaidi Aziz.
Peniaga berumur 43 tahun itu juga lulusan UIAM, jurusan sains kemanusiaan.

Loke dalam ucapannya berkata Pakatan Harapan tidak akan meletakkan calon bagi memastikan pertandingan satu lawan satu menentang calon BN.
Beliau juga berharap pilihan raya kecil DUN Slim ini akan jadi pencetus kebangkitan semula mereka selepas pertukaran kerajaan melalui percaturan politik pada hujung Februari lalu.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan penamaan calon pada Sabtu ini, dengan tempoh kempen dua minggu sebelum pengundian pada 29 Ogos.
Pilihan raya kecil ini melibatkan 23,094 pengundi termasuk 22,815 pengundi biasa, 277 pengundi awal dan 2 pengundi luar negeri.
Kerusi DUN Slim kosong selepas penyandangnya Mohd Khusairi Abdul Talib, 59, meninggal dunia pada 15 Julai lalu.
Beliau dilaporkan rebah ketika bermain golf di Awana Genting Highlands Golf and Country Resort dan dikejarkan ke Hospital Bentong, Pahang.
Semasa Pilihan Raya Umum ke-14, Ketua Umno Tanjong Malim itu mendapat 8,327 undi dalam pertembungan tiga penjuru menentang calon Bersatu Mohd Amran Ibrahim (6,144) dan calon PAS Muhammad Zulfadli Zainal (4,103). – 12 Ogos, 2020.
Komen