PAU patut ditutup dengan kutukan keras terhadap Trump berhubung Baitulmaqdis


Asila Jalil

Perhimpunan Agung Umno ke-71 yang akan tamat esok patut ditutup dengan kutukan keras terhadap resolusi Presiden Amerika Syarikat Donald Trump yang mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel, kata Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail.– Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 8 Disember, 2017.

PERHIMPUNAN Agung Umno (PAU) ke-71 yang akan tamat esok patut ditutup dengan kutukan keras terhadap resolusi Presiden Amerika Syarikat Donald Trump yang mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel, kata Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail.

Saifuddin berkata Perdana Menteri Najib Razak sepatutnya membuat resolusi tegas terhadap Trump yang mungkin akan memberi kesan terhadap tindakan presiden itu.

“Rakyat akan melihat sama ada Umno ada keberanian untuk menbuat satu ketetapan atau satu resolusi yang mendesak Amerika, kerana kita sedia maklum perhimpunan tahunan Umno sebagai parti pemerintah sangat mempengaruhi dasar mega, contohnya dasar luar,” katanya berhubung PAU yang akan tamat esok.

Saifuddin berkata demikian ketika menyerahkan memorandum bantahan oleh Pakatan Harapan (PH) terhadap tindakan AS mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel di Kedutaan AS hari ini.

Pada Rabu lalu, Trump mengumumkan AS mengiktiraf Bailtulmaqdis sebagai ibu negara Israel, menyatakan ia “permulaan pendekatan baharu kepada konflik antara Israel dan Palestin”.

Presiden AS itu juga mengarahkan Jabatan Negeri AS memulakan persediaan untuk memindahkan kedutaan AS dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis.

Tambah Saifuddin, tindakan Trump itu bersifat provokatif yang bertujuan menambahkan lagi kekacauan kepada rakyat Palestin khususnya dan warga dunia secara amnya.

Dalam masa sama, Ketua Pemuda Bersatu Syed Saddiq Abdul Rahman berkata, Najib patut gesa Trump menarik balik tindakannya itu jika benar Najib bersahabt baik dengan Trump.

“Sebelum ini, Najib dan rakan-rakannya kata Presiden Donald Trump kawan rapat.

“Kalau betul, Najib patut guna hubungan baiknya itu mendesak Trump menarik balik kenyataannya dan yakinkan kita boleh bersatu untuk menyelamatkan orang Islam dan rakyat Palestin,” katanya.

Antara pemimpin PH yang turut hadir Presiden Amanah Mohamad Sabu, Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub  dan Ahli Parlimen DAP Lim Lip Eng.

Selain PH, lebih 50 NGO turut turun bagi menunjukkan bantahan terhadap tindakan Trump itu.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini, PH mengutuk keras tindakan Trump itu.

“Keputusan Presiden Trump bagai mencurah minyak ke dalam api terhadap usaha damai Israel-Palestin, yang juga akan menyebabkan ketegangan agama kerana Baitulmaqdis adalah tempat suci buat penganut Yahudi, Kristian dan Islam. Tindakan ini melanggar perjanjian Oslo yang dimulakan oleh AS sendiri.

“Rakyat Palestin masih menjadi mangsa sekatan oleh askar Israel dan telah kian lama menderita akibat tanah air mereka dijajah, ditakluk,” kata kenyataan yang ditandatangani oleh Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin, Pengerusi DAP Kebangsaan Tan Kok Wai, mohamad Sabu dan Saifuddin.

Terdahulu, Najib yang juga presiden Umno, dalam ucapan dasarnya membantah tindakan AS pada Rabu (6 Disember) untuk mengiktiraf Baitulmaqdis secara rasminya sebagai ibu negara Israel.           

Perdana Menteri berkata Malaysia “menolak sekeras-kerasnya tindakan menjadikan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel sampai bila-bila.”             

Najib menerima tepukan gemuruh daripada anggota perwakilan Umno di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra di Kuala Lumpur, ketika beliau membangkitkan isu itu dalam ucapannya. – 8 Disember, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen