Pendirian Baitulmaqdis Najib dipuji perwakilan asing


Pendirian tegas Perdana Menteri Najib Razak menentang tindakan Amerika Syarikat (AS) mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel dihargai dan dipuji para perwakilan asing yang menghadiri Perhimpunan Agung Umno 2017 hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 7 Disember, 2017.        

PERWAKILAN asing yang menghadiri majlis perasmian Perhimpunan Agung Umno 2017 hari ini memuji pendirian tegas Perdana Menteri Najib Razak dalam menentang tindakan Amerika Syarikat (AS) mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel.           

Ketua Hal Ehwal Politik Pertubuhan Kebudayaan Palestin Malaysia Abdullah Waleed berkata  beliau amat menghargai pendirian Najib berhubung perkara itu.            

“Beliau (Najib) ternyata bimbang dengan keputusan Presiden (Donald) Trump memindahkan kedutaan Amerika Syarikat (dari Tel Aviv) ke Baitulmuqaddis, yang merupakan isu yang amat serius.            

“Kami percaya Malaysia akan mengambil langkah yang lebih serius, begitu juga dengan umat Islam di seluruh dunia Islam dan Arab,” katanya kepada Bernama selepas menghadiri majlis perasmian itu di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur.             

Anggota Parti Kongres Nasional Sudan Dr Tagwa Ahmed Musa Mohamed pula berkata ucapan Najib mengandungi mesej yang baik untuk rakyat Malaysia dan umat Islam di seluruh dunia.

“Saya amat bersetuju dengan Perdana Menteri Najib mengenai isu (Baitulmuqaddis) ini,” katanya.

Terdahulu, Najib yang juga presiden Umno, dalam ucapan dasarnya membantah tindakan AS pada Rabu (6 Disember) untuk mengiktiraf Baitulmuqaddis secara rasminya sebagai ibu negara Israel.           

Perdana Menteri berkata Malaysia “menolak sekeras-kerasnya tindakan menjadikan Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel sampai bila-bila.”             

Najib menerima tepukan gemuruh daripada anggota perwakilan Umno di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra di Kuala Lumpur, ketika beliau membangkitkan isu itu dalam ucapannya.             

Seramai 95 anggota perwakilan luar negara, yang mewakili 20 parti politik dari 16 negara, menghadiri perasmian Umno yang berusia 71 tahun itu di PWTC, yang turut menempatkan ibu pejabat parti itu.

Sementara itu, Ketua Pergerakan Wanita Umno Shahrizat Abdul Jalil berkata tindakan Presiden Trump adalah tidak bijak malah menghina umat Islam di seluruh dunia.

“Kami Wanita (Umno) bersama-sama presiden dan berjihad  tentang perkara ini,” katanya.

Ketua Menteri Melaka Idris Haron yang juga anggota Majlis Tertinggi Umno berkata Najib telah mengambil ketetapan untuk menolak tindakan Amerika Syarikat itu dan ia mendapat sokongan padu daripada semua perwakilan Umno.

Presiden MCA Liow Tiong Lai turut bersetuju bahawa Trump tidak boleh membuat keputusan semborono, sebaliknya perlu sensitif dengan keadaan di Palestin. – Bernama, 7 Disember, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen