Naratif baharu bangsa


SEKITAR tahun 1930, beberapa penulisan mengenai sejarah negeri Melayu, seperti Perak dan Pahang diterbitkan oleh beberapa orang penulis kolonial.

Mereka berpendapat bahawa negeri Perak dan Pahang adalah dua buah negeri yang amat feudal sifatnya. 

Negeri tersebut ditadbir dengan teruk dan mengalami ketidakstabilan politik.

Ketidakstabilan ini dicetuskan oleh konflik-konflik perebutan kuasa oleh the Malay chiefs. 

Konflik-konflik ini telah melemahkan kemakmuran ekonomi rakyat. Maka rakyat pun semakin sengsara.

Pada waktu itu, dianggap bahawa campur tangan pihak British bakal menstabilkan keadaan politik tempatan. 

Campur tangan British, menurut penulisan-penulisan pihak tersebut, telah memberikan kestabilan dan menegakkan kehormatan undang-undang, melalui pendekatan dan acuan moden pentadbiran Barat mereka. 

Menurut penulis-penulis British lagi, kuasa pemerintahan Melayu amatlah fragmented ataupun berasing-asing.

Akibatnya, Sultan di sesebuah negeri itu tidaklah berkuasa mutlak. Seperti di Pahang, contohnya. 

Suatu ketika dahulu, wujud 96 Malay chiefs di negeri itu. Mereka berkuasa seakan Sultan, dengan dukungan ramai pengikut golongan bawahan Melayu sehinggakan golongan bawahan Melayu itu, tidak lagi bersetia kepada negeri mereka sendiri. 

Tetapi sebaliknya  mereka memberi sepenuh sokongan hidup dan mati kepada the Malay chiefs yang ada. 

Kesannya, seorang Sultan tidak boleh memperolehi dukungan penuh rakyatnya sendiri, tanpa memperolehi sokongan the Malay chiefs terlebih dahulu. 

Maka, daripada pemerhatian di atas, dalam The History of Pahang (1936), Lienahan telah membezakan di antara sifat orang British dan sifat orang Melayu.

Orang British adalah moden dan maju. Orang Melayu pula dilihat terkebelakang dan incapable of government. 

Berdasarkan pengkelasan itu jugalah, J.W.W Birch, Residen British pertama di Perak yang dibunuh, telah dianggap sebagai hero. 

Bagi British, beliau mati sebagai “syuhada”. Selepas berusaha untuk memodenkan bangsa tidak bertamadun daripada kejahilan.

Birch mati dalam usaha untuk memajukan sebuah bangsa yang mundur. Bangsa itu adalah bangsa Melayu.

Naratif dahulu dan sekarang

Di atas, adalah tulisan-tulisan sejarah yang akan kekal menistakan naratif identiti bangsa.

Melayu telah dipanggil dengan bermacam-macam panggilan. Telah dilabel dengan bermacam-macam label.

Selama beratus tahun lamanya, kita mahu membuktikan yang sebaliknya. 

Namun usaha tersebut telah gagal ataupun melahirkan hasil yang begitu minimal. 

Maka kita harus bertanya kepada sesama sendiri, adakah Melayu itu benar-benar yang dimaksudkan oleh tulisan-tulisan British di atas?

Asasnya adalah kepimpinan

Di sini, kita dapat melihat bahawa, kepimpinan Melayu berupaya untuk mendefinisikan sebuah bangsa. 

Jika jujurnya pemimpin itu, maka jujurlah bangsanya. Jika culas, malas dan alpa pemimpin itu, maka tercela jugalah bangsa. 

Sikap pembawakan the Malay chiefs, telah memberi makna kepada bagaimana bangsa ini ditakrifkan.

Bangsa telah ditakrifkan dengan pelbagai konotasi negatif, kerana sifat pemimpinnya sendiri. Naratif ini kekal sehingga sekarang.

Naratif the Malay chiefs sebagai kelompok yang memiliki kuasa mutlak, kuasa yang seakan lebih absah, lebih besar dan lebih “daulat” daripada nilai-nilai moral, etika dan prinsip madani harus ditinggalkan. 

Apatah lagi, the Malay chiefs ini tidak langsung fikir dengan mendalam tentang kelangsungan Melayu.

Hanya yang mereka kisah adalah kelangsungan tembolok sendiri – yang kaya mahu terus kaya, dan hanya sekelumit sahaja jasa ditaburkan demi bangsa. 

The Malay chiefs ini sanggup mengorbankan jiwa dan raga bangsa, asalkan kuasa dan pengaruh mereka kekal terikat. 

Akibatnya, berlaku ketirisan sumber, pembangunan yang tempang, dan pemerkosaan amanah, jika the Malay chiefs ini diberikan tanggungjawab untuk mengetuai insitusi bangsa dan negara. 

Naratif baharu bangsa

Sudah menjadi Sunnatullah, bahawa yang lama itu harus berganti dengan baharu. Begitu jugalah pembawakan dan naratif bangsa. 

Naratif baharu untuk bangsa memerlukan kekuatan. Kekuatan tersebut berakar daripada kepimpinan Melayu yang progresif, berilmu dan amanah. 

Modal insan Melayu, yang mempunyai towering personality harus terus digilap dan diberikan kepercayaan. Agar hegemoni dan naratif ‘Melayu lama’ akan perlahan-lahan dilentur dan diganti.

Maka, usaha ini memerlukan persatuan-persatuan Melayu, para guru-guru Melayu, para asatizah Melayu, para profesional Melayu, para usahawan Melayu dan golongan pekerja Melayu, untuk melihat nasib bangsa menjangkaui wadah politik. 

Kerana jelasnya, wadah politik akan terus dicemari oleh pembawakan dan perangai the Malay chief yang sama seperti tulisan-tulisan kolonial British di atas tadi. 

Ingatlah, jatuhnya Kerajaan Islam seperti kerajaan Uthmaniyyah disebabkan oleh perebutan kuasa, ketirisan dan ketamakan harta. 

Bangsa akan terus dilukai, jika agenda mengumpul kekayaan material dan kuasa politik diutamakan daripada agenda memperbaharui naratif bangsa.

Ingatlah, jika Allah mahukan supaya sesuatu bangsa itu sejahtera, maka Allah akan memberikan bangsa itu pemimpin yang baik. 

Semoga bangsa saya, kekal dipimpin oleh mereka yang baik sahaja. – 10 Ogos, 2020.

*Abdullah Ilham adalah pembaca The Malaysian Insight.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen