
NADA yang berbeza pada mesyuarat tahunan dua sayap Umno menjadi isyarat dari mana parti pemerintah itu akan mendapat undinya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) tahun depan.
Mesyuarat Wanita dan Pemuda Umno yang memulakan acara sempena Perhimpunan Agung Umno ke-71 minggu ini juga secara tidak langsung menunjukkan pertempuran sukar bagi pembangkang, yang perlu dihadapi Pakatan Harapan (PH), untuk mengakhiri pemerintahan 60 tahun Umno di negara ini.
Nada dalam perhimpunan Wanita menggambarkan keyakinan dan kestabilan apabila hampir tiada serangan dibuat terhadap pembangkang, menerusi ucapan perwakilan.
Hanya Ketua Wanita Umno Shahrizat Abdul Jalil yang menyentuh sedikit tentang pembangkang dan isytihar perang terhadap mereka.
Tetapi kebanyakan perwakilan Wanita tidak melahirkan kebimbangan yang pembangkang mungkin membawa impak kepada wanita Melayu-Islam – kumpulan pengundi yang membentuk separuh daripada asas sokongan tradisional parti itu.
Melayu Islam membentuk kira-kira 53% daripada 14.3 juta pengundi berdaftar di seluruh negara.
Daripada jumlah keseluruhan undi Melayu di semenanjung, BN membentuk bahagian terbesar pada 2008 dengan 59% dan meningkat 64% pada 2013, menurut kajian dibuat wakil rakyat DAP dan penganalisis pilihan raya, Ong Kian Ming.
Tetapi, BN masih hilang majoriti dua pertiga dalam kedua-dua PRU kerana sokongan undi bukan Melayu dan pada 2013, ia membentuk kerajaan persekutuan walaupun hanya mendapat 47% undi popular, sementara PH memperoleh 52%.
Berbeza dengan sayap wanita, speaker di perhimpunan Pemuda menyentuh tentang ancaman parti pembangkang terhadap Melayu Islam dan undi belia lelaki, yang sejumlah kira-kira 1.2 juta.
Kebimbangan itu selari dengan dapatan kajian Merdeka Centre baru-baru ini iaitu 70% golongan belia berkata mereka tidak peduli tentang politik. Sikap tidak minat generasi muda untuk mengundi terserlah menerusi data kira-kira 4 juta mereka yang tiba umur mengundi, masih tidak mendaftar, menurut Suruhanjaya Pilihan Raya.
Tidak seperti Shahrizat, Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin Abu Bakar menghabiskan hampir separuh daripada ucapan dasarnya untuk mengutuk propaganda PH dan mengkritik pemimpinnya.
Wanita dan sentuhan peribadi
Keyakinan dalam Wanita Umno dan kebingungan dalam Pemuda Umno membayangkan trend mengundi akar umbi dalam kalangan Melayu Islam bagi setiap sayap.
Penganalisis politik Wan Saiful Wan Jan berkata wanita Melayu Islam secara umumnya menyokong dan mengundi Umno dan BN.
Katanya, pembangkang mendapati pengundi wanita yang paling sukar ditawan di Johor dan Kedah kerana kebanyakannya memilih Wanita dan Puteri Umno, memetik kaji selidik aktivis Bersatu, parti komponen PH.
“Ia ada kaitan dengan rangkaian sosial wanita dan bagaimana Wanita Umno sangat bagus dalam menggunakan jaringan itu untuk menyampaikan mesej.
“Program Wanita Umno fokus kepada sentuhan peribadi dan membentuk ikatan individu antara pengundi wanita,” kata ketua Institut Hal Ehwal Ekonomi dan Demokrasi itu.

Pengundi wanita Melayu juga kurang terdedah dengan idea politik alternatif berbanding lelaki yang hadir ke ceramah politik dan melepak di kedai kopi, katanya.
Aspek memperoleh undi wanita itu diakui oleh perwakilan Wanita Umno Pulau Pinang Rozi Ishak yang berkata strategi mereka membabitkan kaedah yang dibangunkan oleh parti.
Strategi itu membabitkan setiap ahli Wanita Umno perlu menjaga 10 pengundi wanita Melayu Islam di kawasan kampung, flat atau perumahan mereka.
“Kami akan sering melawat mereka di rumah dan bercakap tentang program kerajaan. Kami juga membalas propaganda pembangkang di rumah mereka,” kata ahli Umno Bahagian Bagan.
Shahrizat juga berkata undi wanita untuk Umno sebagai stabil dan penyokong setia.
Ketidaktentuan dalam undi lelaki dan belia
Tetapi ia berbeza dengan undi belia Melayu dan terutama sekali dalam kalangan lelaki. Dan kebimbangan itu terserlah pada perhimpunan Pemuda Umno.
“Dalam sebuah keluarga kita dapat pastikan ibu bapa bersama kita. Tetapi kita tahu anak mereka, yang balik dari bandar, tidak begitu,” kata Rozi.
Sebagai isyarat kekuatan pembangkang dalam kalangan belia Melayu, Ketua Pemuda Bersatu Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sebelum ini berkata 41% daripada ahli parti itu ialah belia berusia antara 18 dan 35 tahun.
Dalam ucapannya, Khairy bercerita panjang lebar tentang cubaan PH untuk mencetuskan ingatan tentang zaman keemasan Malaysia moden pada 1980-an dan 1990-an di bahawa pemerintahan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.
Dr Mahathir kini pengerusi gabungan PH bersama Anwar Ibrahim, yang menjadi pemimpin de facto. Pakatan empat parti itu berharap untuk menggunakan nostalgia zaman kegemilangan ekonomi dan kepimpinan tegas ketika Dr Mahathir dan Anwar bergabung.
Khairy menggelar naratif itu sebagai nostalgia palsu, kerana ia menyembunyikan skandal kewangan yang berlaku di bawah Dr Mahathir, seperti kekecohan Perwaja Steel, kerugian urus niaga mata wang asing Bank Negara dan skandal Zon Bebas Cukai Pelabuhan Klang.
Wan Saiful dari IDEAS berkata berbanding pengundi wanita Melayu, lelaki Melayu lebih sukar untuk diyakinkan oleh Umno.
Lelaki lebih terdedah kepada idea alternatif melalui media sosial dan jaringan sosial mereka yang lebih luas menyebabkan mereka kritikal terhadap propaganda Umno, dan mudah menjadi penyokong PH.
Oleh itu, walaupun Bersatu sukar mendapatkan sokongan wanita Melayu Islam, ia banyak menerima sokongan dalam kalangan lelaki Melayu, kata Wan Saiful.
“Bila pembangkang mahu meyakinkan wanita Melayu, mereka juga perlu meyakinkan kawan yang duduk di sebelahnya, yang mungkin seorang penyokong Umno.
“Tetapi untuk lelaki, pembangkang hanya perlu hantar mesej melalui WhatsApp saja,” kata Wan Saiful. – 8 Disember, 2017.
Komen
Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Amera amani · Ulasan