
EMPAT tema mengisi ucapan dasar Presiden Umno Najib Razak semalam – pilihan raya hidup atau mati, kaum dan agama serta prestasi lebih baik sebagai perdana menteri berbanding Dr Mahathir Mohamad – pada Perhimpunan Agung Umno yang dijadikan pentas menggembleng sokongan bagi menghadapi apa yang beliau istilahkan sebagai “penghulu segala pilihan raya”.
Tetapi ucapan itu lebih daripada hanya kata-kata semangat kepada ahli parti yang setia.
Seperti yang disimpulkan oleh pemimpin Umno daripada Hishammuddin Hussein sampailah kepada Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Shahrizat Jalil, ia juga ditujukan kepada 14.3 juta pengundi untuk menunjukkan tawaran parti Melayu.
Itulah juga rumusan penganalisis politik yang mengatakan Najib sudah menabuh gendang perang untuk Umno mara ke medan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) tahun depan.
Dalam ucapannya, Najib menyentuh semua perkara yang beliau mahu Umno guna dalam PRU14, daripada soal strategi sampailah kepada mesej utama Umno untuk meraih undi.
Namun ia juga mencerminkan kebimbangan utamanya dan apa yang beliau nampak sebagai cabaran paling besar untuk parti itu kekal berkuasa.
“Ini bukan ucapan parti yang biasa. Ini nampaknya ucapan pilihan raya, menandakan bermulanya kempen PRU14,” kata ahli sains politik, Prof James Chin.
“Obor pilihan raya sudah dinyalakan,” kata seorang lagi penganalisis politik, Hisommudin Bakar dari Ilham Centre.
“Beliau menabur benih ketakutan pada ahli parti, kalau kalah pilihan raya, orang Melayu akan hilang kuasa dan anak cucu akan menyalahkan mereka kerana menghancurkan masa depan.”
Bagus lagi daripada Dr Mahathir
Najib memperuntukkan satu pertiga ucapannya menyentuh soal cara-cara berkempen. Ini termasuk lima seruan dan semboyan kepada ahli Umno dan Barisan Nasional (BN) untuk bekerjasama, yakin diri, bertindak pantas, bertempur di alam maya dan berusaha sehabis daya.
Satu pertiga lagi beliau mengimbau prestasinya sebagai perdana menteri termasuk dasar dan pencapaian ekonomi sepanjang dua penggal pentadbirannya, sejak 2009.
Ini termasuk projek mega seperti sistem MRT di Lembah Klang, lebuh raya Pan Borneo sampailah kepada program sosioekonomi seperti Pelan Tindakan India Malaysia.
Beliau juga menyentuh pencapaiannya menjadikan Malaysia kuasa ekonomi sedang berkembang, seperti yang diakui oleh Forum Ekonomi Dunia, dan meningkatkan rizab antarabangsa negara kepada RM429 bilion.
Angka-angka ini, kata Hisommudin adalah cerita kejayaan yang Najib mahu ahli Umno jaja kepada rakyat.
“Ini cara beliau membezakan bagaimana beliau sudah capai lebih banyak berbanding (bekas perdana menteri) Dr Mahathir kerana beliau asyik sebut ‘bekas negarawan’,” kata Hisommudin.
Misalnya, Najib membandingkan RM429 bilion rizab antarabangsa yang terkumpul di bawah pentadbirannya dengan RM59.1 bilion semasa zaman Dr Mahathir.
Walaupun ucapan itu menyentuh pencapaian ekonominya, Hisommudin berkata Najib tidak menyebut soal 1MDB dan penyelesaian kepada kos sara hidup yang merunsingkan rakyat Malaysia.
“Kebanyakan pencapaian ini adalah angka-angka ekonomi makro. Tetapi beliau tidak tawarkan apa-apa penyelesaian kepada masalah ekonomi sebenar yang dihadapi oleh pengundi,” katanya.
Agama dan kaum
Selain pencapaian ekonomi makro, Najib mengetengahkan gambaran besar yang ditujukan kepada pengundi Melayu Islam – bahawa Umno pelindung orang Melayu dan agama Islam.
Inilah umpan Najib kepada orang Melayu Islam dan Bumiputera di Sabah dan Sarawak, yang membentuk 69% daripada penduduk, kata Chin dari Universiti Tasmania.
“Walaupun tidak menyerang orang Cina dan India, dengan menekankan keistimewaan yang diberikan kepada Bumiputera, secara tidak langsung beliau memberitahu orang Melayu dan Bumiputera bahawa hanya Umno yang akan mengekalkan perkauman yang diinstitusikan itu untuk kepentingan mereka.
“Dalam kata lain, Umno tidak begitu perlukan undi Cina dan India,” kata Chin.
Umno tunjang pemerintah BN dengan memegang 86 daripada 132 kerusi yang dikuasai oleh gabungan itu di Parlimen, dengan sekutunya mewakili pelbagai etnik.
Namun dalam hendak menonjolkan Umno yang toleran kepada kepelbagaian, ucapan Najib mengesahkan Umno akan memperjudikan isu agama dan kaum pada PRU14.
Resah
Ketaksuban pada Dr Mahathir dan partinya Bersatu menunjukkan betapa Najib kini melihat bekas perdana menteri itu musuh No. 1 kepada pemerintahan Umno.

Dr Mahathir berlaga angin dengan Najib berhubung skandal 1MDB dan berikrar akan menumbangkan Najib dan Umno pada PRU14. Beliau kini mempengerusikan Bersatu dan Pakatan Harapan.
“Dr Mahathir ini mimpi ngeri Najib dan faktor besar bagi Umno pada PRU14,” kata Hisommudin.
Sehinggakan, PAS yang selalu jadi karung tinju hanya disebut sepintas lalu dalam ucapan Najib.
“Hanya ada satu baris tentang PAS (dalam ucapan Najib) dan itu pun tentang bagaimana Umno akan terus bekerjasama dengannya atas isu-isu Islam. Tetapi dalam semua pilihan raya, PAS musuh utama Umno untuk undi Melayu Islam,” kata Hisommudin.
Penganalisis merasakan sikap diam diri Najib terhadap PAS itu ialah kerana beliau tidak mahu menolak parti Islam itu kembali kepada PH.
Menurut PAS, ia akan mengetuai satu lagi pakatan pembangkang atas nama Gagasan Sejahtera pada PRU14, membuka jalan kepada pertandingan tiga penjuru antara BN, PH dan PAS.
Penganalisis percaya pertandingan tiga penjuru seperti itu selalunya menguntungkan BN kerana ia memecahkan undi anti BN.
Biarpun begitu, kebimbangan Umno terhadap pengaruh Dr Mahathir dan kemampuannya untuk menarik undi mendesak ahli Umno itu memperlecehkan pemimpin yang pernah mereka hormati itu.
Siasatan diraja ke atas kerugian Bank Negara Malaysia semasa beliau jadi perdana menteri 25 tahun lalu juga menimbulkan tanda tanya tentang sikap Putrajaya terhadap pengerusi pakatan pembangkang itu. – 8 Disember, 2017.
Komen
Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Amera amani · Ulasan
Rizsb banyak tak.menjaminnrakyat hidup.bahagia.. 59 billlion
.tanpa gst ..harga barang trrkawal, hRga minysk masih rendah..rakyat tak rasa susah..sekarang rizab negara banyak pemimpin senang dan bermewah sementara rakyat hidup melarst.
Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Ujang Mohd · Ulasan