Manipulasi lesen penjaja DBKL


Zainal Rashid Ahmad

HAMPIR tiga dekad, pemilik lesen dan peniaga di Kuala Lumpur menikmati kemewahan dengan menyewakan premis kepada pendatang asing.

Premis yang disewa sekitar RM250 sebulan daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) atau tapak lesen perniagaan boleh disewa semula pada harga yang sangat tinggi.

Pemilik premis secara purata menyewakan semula lot kedai atau lesen DBKL antara RM1,500 hingga RM3,000 sebulan.

Ini gaya hidup peniaga Melayu di Kuala Lumpur yang bersembunyi di balik imej penjaja kecil. Malah, sebahagiannya ahli persatuan dan berpengaruh.

“Ini rahsia terbuka, DBKL pun tahu dan ia berlaku secara berleluasa sejak 1990-an,” kata sumber.

Tanpa maklumat melalui sumber pun, sebagai wartawan dengan pengalaman hampir tiga dekad di Kuala Lumpur, saya tahu isu ini.

Malah, ketika menerbitkan Edisi Siasat pada 2001 hingga 2005, saya pernah menyerahkan rakaman telefon yang dipinda ke salinan cakera padat kepada pihak berkuasa.

Rakaman yang salinannya juga dihantar ke Bukit Aman pada waktu itu diberikan oleh tokoh perniagaan terkenal di Kuala Lumpur.

Rakaman itu mengandungi perbualan yang menawarkan pembahagian tapak perniagaan Bazar Ramadan dan cara mengaut untung puluhan kali ganda berbanding harga yang dikenakan DBKL.

Ini skandal besar pada awal 2000-an. Pembahagian untung di kalangan pihak berluasa dan peniaga yang memiliki kepentingan dalam kawalan agihan lot perniagaan.

Malangnya – haram tiada tindakan. Begitulah rasuah dan manipulasi dipelihara dan dijaga di negara ini sejak tiga dekad lalu.

Hari ini selepas DBKL melancarkan operasi besar-besaran terutama di Chow Kit, Jalan Masjid India dan sekitar kawasan perniagaan yang dilesenkan untuk penjaja tempatan, banyak yang tutup kedai.

Operasi sempena Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu mengejutkan “taikun” yang menguasai antara lima ke 10 lot perniagaan.

Ketegasan DBKL menyiasat status pemegang lesen atau pemilik premis sewaan menimbulkan suasana baharu yang tidak pernah berlaku.

Bagi “taikun” yang menyewakan semula kepada warga asing atau penyeleweng lesen dan premis ini, tindakan DBKL menimbulkan rasa kecut perut.

Pendatang asing yang meniaga di premis yang dilesenkan kepada penjaja tempatan diminta keluar.

Pemilik premis yang disewa daripada DBKL dan pemegang lesen diberi amaran keras. Antaranya premis akan disita dan lesen akan dimatikan.

“Ramai yang pening kerana selama 20 tahun tak pernah meniaga.

“Kelakar pun ada sebab sekarang mereka letak apa saja barang asal nampak meniaga kerana takut kedai dirampas DBKL,” kata sumber.

Tindakan tegas DBKL untuk menyita premis dan merampas lesen menyebabkan “usahawan Bumiputera” yang selama ini hidup bercelaru.

Kalau selama ini mereka mewah dengan hanya “goyang telur” mengutip sewa tinggi daripada pendatang asing, kini semuanya seperti cacing kepanasan.

“Benda nak meniaga pun tak ada. Selama ini 20 tahun kenyang makan duit sewa saja,” kata sumber.

Menurut sumber, hidup pemilik premis DBKL ini amat mewah. Sebahagiannya memanipulasi kedudukan sebagai proksi politik atau menggunakan pengaruh senagai pemimpin persatuan.

“Proksi dan kononnya kuasa sebagai pemimpin peniaga kecil menyebabkan mereka mudah mendapat premis dan lesen,” kata sumber.

Skandal penyelewengan ini warisan lampau sejak 30 tahun lalu. Lesen perniagaan DBKL sudah lama dijadikan alat politik yang dimapulasi oleh proksi.

Ada proksi politik atau pemimpin persatuan penjaja yang menguasai lima hingga 10 premis.

Satu taktik yang menjadi rahsia terbuka – pemilik premis menggunakan pelbagai nama termasuk isteri, ibu bapa, ahli keluarga dan diri sendiri.

“Bayangkan keuntungannya kalau satu premis disewa antara RM1,500 hingga RM3,000,” kata sumber.

Pemilik premis ini mampu mendapat antara RM15,000 hingga RM30,000. Sedangkan sewa DBKL hanya RM250 per premis.

Ini bukan rahsia. DBKL boleh menyiasatnya. Sama ada sebagai info kaji selidik atau “pergi lebih dalam” sebagai memulakan siasatan kes jenayah bagi pertuduhan menipu kerajaan.

Tragedi manipulasi dan korupsi sudah lama menyeret dunia penjaja Kuala Lumpur dalam skandal yang memalukan.

Ambil langkah proaktif. Jangan pula mencari penyelesaian mudah dengan meminta penulis pula membuktikan kesnya.

Kita tahu ini rahsia terbuka. Cuma, demi kebaikan kita bertindak supaya pada waktu penaja kecil yang benar-benar memerlukan peluang perniagaan mendapat haknya.

“Pihak berkuasa sudah lama tahu mengenai hal ini, sejak tiga dekad lalu. Ia rahsia terbuka!,” kata seorang peniaga veteran di Kuala Lumpur.

Paling mengejutkan, selepas tiga bulan operasi Perintah Larangan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu, kini warga asing kembali meniaga.

Walaupun ada pemilik premis menggelabah mengisi perniagaan asal ada untuk mengaburi mata pihak berkuasa, terdapat premis yang warga asing kembali meniaga.

“Kita tengok berapa lama kerajaan mampu bertegas. Tak lama lagi dari Jalan Petaling ke Masjid India dan sampai ke Chow Kit, penyakit lama akan berulang lagi,” kata sumber.

Saya sendiri sudah menjengoknya baru-baru ini. Saya percaya tanpa ketegasan DBKL merampas lesen, budaya “makan sewa” akan kembali.

Pemilik lesen terus menyamar sebagai penjaja Bumiputara dan mengunakan kedudukan dalam pelbagai persatuan untuk menguasai lesen.

“Lesen akhirnya disewakan pada pendatang asing dengan harga berkali-kali ganda. Itu cara mudah penyamar kononnya penjaja Bumiputera menyapu untung,” kata sumber. – 5 Ogos, 2020.

* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen