MALAYSIA boleh mengambil tindakan terhadap mana-mana warga asing yang dianggap “tidak dikehendaki” di negara ini, kata Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin.
“Ketua Pengarah Jabatan Imigresen diberi kuasa di bawah Seksyen 9 Akta Imigresen untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana warga asing yang dianggap tidak dikehendaki di negara ini.
“Itu penjelasan saya,” kata Hamzah di Dewan Rakyat ketika ditanya mengapa pihak berkuasa menangkap Mohamad Rayhan Kabir, seorang pekerja warga Bangladesh yang diwawancara oleh Al-Jazeera dalam dokumentari yang memaparkan dakwaan penganiayaan terhadap warga asing tanpa dokumen.
Pejabat Al-Jazeera di Kuala Lumpur juga diserbu hari ini.
Hamzah menjawab soalan Teresa Kok (Seputeh-PH) yang bertanya mengapa tindakan diambil terhadap penyiar antarabangsa itu dan apa kesalahan yang dilakukan Rayhan sehingga dia ditangkap.
Rayhan ditangkap selepas kritikannya terhadap penahann pekerja asing tanpa izin yang bertajuk “Locked Up in Malaysia’s Lockdown” yang disiarkan pada 3 Julai.
Dalam tayangan video 25 minit dan 50 saat yang dihasilkan oleh pasukan 101 Timur Al Jazeera, dia menuduh pihak melakukan tindakan perkauman terhadap pendatang tanpa izin dengan mendakwa menjadi Pati di Malaysia bukanlah satu jenayah.
Terdahulu Hamzah memberitahu Dewan Rakyat bahawa kerajaan sedang menyiasat majikan Rayhan.
“Rayhan ditangkap pada 24 Julai dan direman di bawah S51 Akta Imigresen selama 14 hari di pusat tahanan Putrajaya untuk siasatan lanjut.
“Di bawah Seksyen 9 Akta Imigresen kerajaan membatalkan pas lawatan sosialnya dan visa kerja sementara dan pemberitahuan sudah dihantar kepada majikannya pada 13 Julai. Majikannya juga sedang disiasat.
“Mana-mana majikan atau pekerja yang melanggar undang-undang boleh dihantar pulang ke negara mereka,” kata Hamzah.
Dilaporkan Rayhan pernah bekerja di sektor berbeza dari yang dinyatakan dalam permit kerjanya. – 4 Ogos, 2020.
Komen