BEKAS pembantu Rosmah Mansor, Rizal Mansor meminta Jepak Holdings Sdn Bhd menaja keluarganya untuk menunaikan ibadah umrah, mahkamah diberitahu hari ini.
Saksi ke-16, Rayyan Radzwill Abdullah memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa Rizal memintanya untuk meyakinkan pengarah urusan Jepak Holdings Saidi Abang Samsudin untuk menaja keluarganya menunaikan umrah.
Ketika itu Rayyan dan Saidi merupakan rakan kongsi perniagaan.
“Beliau menekan saya untuk meyakinkan Saidi untuk menaja ibadah umrah.
“Kemudian saya pujuk Saidi untuk menajanya memandangkan ia untuk agama dan beliau setuju,” kata Rayyan ketika diperiksa balas peguam belas Rosmah, Akberdin Abdul Kadir.
Beliau memberi keterangan dalam perbicaraan Rosmah yang didakwa meminta suapan RM187.5 juta dan dua tuduhan menerima RM6.5 juta untuk projek hibrid solar bagi membekalkan elektrik ke 369 buah sekolah luar bandar di Sarawak.
Rosmah didakwa menerima suapan daripada Saidi menerusi pembantunya Rizal.
Rayyan memberitahu mahkamah, walaupun Saidi bersetuju untuk menaja keluarga Rizal menunaikan umrah, beliau tidak tahu berapa jumlah yang diberikan.
Terdahulu, Rayyan memberi keterangan bahawa Rizal menuntut RM25 juta untuk dibayar dalam tempoh 5 tahun bagi kerana membantu Jepak Holdings mendapatkan projek hibrid solar.
Beliau turut memberitahu mahkamah bahawa Saidi memaklumkan kepadanya Rizal dibayar RM500,000 pada 23 Disember, 2016 di kediamannya di Vistana Kirana, Segambut, Kuala Lumpur.
“Saya ada bersamanya ketika beliau bawa beg ke kediaman Rizal untuk diberikan padanya.
“Kemudian selepas meninggalkan rumah Rizal, Saidi memberitahu saya beg berkenaan mengandungi RM500,00,” kata Rayyan.
Akberdin kemudian bertanya saksi sama ada beliau tahu mengenai RM350,000 yang dibayar secara tujuh bahagian antara 2016 dan 2017. Rayyan berkata Saidi tidak menyatakan mengenai bayaran itu kepadanya.
Rizal sebelum ini dibebaskan dan semua pertuduhan pemerasan dan rasuah digugurkan.
Beliau diletakkan di bawah program perlindungan saksi, sekali gus menunjukkan beliau akan menjadi saksi pendakwaaan bagi menentang Rosmah.
Perbicaraan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan bersambung esok. – 4 Ogos, 2020.
Komen