Bekas pembantu Rosmah kini diletak bawah program perlindungan saksi


Ravin Palanisamy

Rosmah Mansor, 69, berdepan tiga tuduhan rasuah, satu daripadanya menerima sogokan RM187.5 juta dari Pengarah Urusan Jepak Holding Saidi Abang Samsudin sebagai balasan membantu Jepak mendapatkan projek solar hibrid di Sarawak. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 9 Mac, 2020.

PEMBANTU Rosmah Mansor, Rizal Mansor kini diletakkan di bawah program perlindungan saksi walaupun sebelum ini beliau didakwa bersama isteri bekas perdana menteri itu.

Perkara itu diketahui pada perbicaraan kes projek solar Sarawak hari ini apabila seorang saksi pendakwaan diminta mengenalpasti Rizal.

Saksi kesembilan Ahmed Farriq Zainul Abidin ditanya untuk mengenalpasti dan mengesahkan saksi lain dalam kes itu ketika membaca keterangannya dan ia turut melibatkan nama Rizal.

Ketika saksi lain dilihat memasuki kamar mahkamah menggunakan pintu saksi di belakang kamar, Rizal pula dilihat memasuki mahkamah menggunakan pintu depan yang kebiasaannya digunakan oleh staf mahkamah.

Menyedari perkara itu, ketua peguam bela Jagjit Singh membangkitkan hal itu kepada Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan.

Jagjit berkata tindakan Rizal itu tidak betul bagi seorang saksi untuk memasuki mahkamah.

Jelasnya pintu yang digunakan Rizal mungkin boleh menuju ke bilik hakim dan ia tidak memberi gambaran yang baik.

Zaini bagaimanapun memberi jaminan kepada Jagjit bahawa perkara itu bukan satu kebimbangan.

Kemudian Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib bangkit dan meminta maaf kepada hakim kerana beliau tidak pasti bagaimana Rizal masuk ke mahkamah menggunakan pintu itu.

Ahmad Akram kemudiannya mendedahkan bahawa Rizal diletakkan di bawah program perlindungan saksi, sekali gus menunjukkan beliau akan menjadi saksi pendakwaaan bagi menentang Rosmah.

“Saya tidak pasti bagaimana ini boleh berlaku tetapi saya tahu saksi ini (Rizal) di bawah program perlindungan saksi.

“Saya tidak pasti bagaimana pengurusan keselamatan di sini tetapi saya akan pastikan ianya tidak akan berlaku lagi,” kata Ahmad Akram kepada Zaini.

Awal tahun ini, Mahkamah Tinggi menggugurkan semua pertuduhan rasuah terhadap Rizal melibatkan projek solar hibrid di Sarawak selepas pihak pendakwaan mendapatkan kebenaran untuk menggugurkan semua pertuduhan ke atasnya.

Rosmah, 69, berdepan tiga tuduhan rasuah, satu daripadanya melibatkan penerimaan sogokan RM187.5 juta dari Pengarah Urusan Jepak Holding Saidi Abang Samsudin sebagai balasan membantu Jepak mendapatkan projek solar hibrid di Sarawak.

Rosmah juga dituduh menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada Saidi pada 2016 dan 2017. – 9 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen