Kekurangan pekerja jejas industri perabot


Angie Tan

Pembekuan pengambilan baharu pekerja asing yang dibuat kerajaan mengakibatkan industri perabot tempatan terjejas. – Gambar EPA, 3 Ogos, 2020.

INDUSTRI perabot tempatan yang baru pulih kira-kira 70 hingga 80% selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kini berdepan cabaran baharu – kekurangan tenaga kerja apabila kerajaan membekukan pengambilan baharu pekerja asing.

Presiden Majlis Perabot Malaysia (MFC) Khoo Yeow Chong berkata industri itu berdepan kekurangan 20,000 pekerja asing sebelum Covid-19.

Tinjauan yang dilakukan di lebih 147 kedai perabot menunjukkan kekurangan 13,000 pekerja asing mempengaruhi produktiviti penghasilan produk berkenaan.

“Ini hanya tinjauan dari 147 kedai. Jika kita memasukkan semua kedai perabot di Malaysia, jumlahnya pasti lebih banyak dari ini.

“Industri perabot perlu bekerja di persekitaran panas dan kotor. Tidak ada penduduk tempatan yang sanggup bekerja seperti itu. Industri ini masih perlu bergantung pada pekerja asing.

“Jadi jika situasi pandemik sudah bertambah baik, saya harap sekatan terhadap pekerja asing dapat dilonggarkan,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Presiden Persatuan Perabot Kuala Lumpur dan Selangor (KSFA) Eric Lee Kong Sim juga mendakwa rata-rata warga asing “menguasai” industri perabot.

Beliau berkata ramai daripada mereka sudah berkahwin dengan penduduk tempatan dan menggunakan perkahwinan sebagai tiket untuk memulakan perniagaan dalam industri perabot.“Mereka tidak membayar cukai dan menjual dengan harga lebih murah.

“Mereka menarik ramai pelanggan yang secara langsung mempengaruhi industri perabot tempatan,” katanya.

Menteri Sumber Manusia M Saravanan baru-baru ini berkata pengambilan baharu pekerja asing dibekukan sehingga akhir tahun ini bagi membantu penduduk tempatan mencari pekerjaan susulan peningkatan kadar pengangguran disebabkan oleh pandemik Covid-19.

Beliau berkata kerajaan akan menilai semula pada akhir tahun ini sebelum memutuskan bila pembekuan pengambilan baharu pekerja asing akan ditarik semula.

Lee berkata kebimbangan industri yang lebih besar adalah sama ada gelombang kedua jangkitan Covid-19 akan menyebabkan PKP kembali dikuatkuasakan semula dan mempengaruhi kuasa membeli.

Industri perabot tempatan terbahagi kepada kedai perabot runcit dan kedai yang mempamerkan serta menjual di pameran.

“Kerana pameran masih dilarang, industri ini masih sedikit terjejas tetapi dibantu oleh mereka yang berada di segmen runcit kerana pelanggan dapat pergi ke kedai perabot,” katanya. – 3 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • #imigresenmy, #kdnputrajaya, Sekian lama mengambil pati berkerja, kerana mahu untung berlebihan. Disektor peruncitan perabot pulak dimonopoli WA bangla & pakistan. Harap kerajaan tidak tunduk dengan kapitalis ekonomi yg terlalu mementing diri sendiri.

    Dimuat naik 5 tahun yang lalu oleh Ameer ameera · Ulasan