Pengambilan pekerja asing dibeku hingga hujung tahun, kata menteri 


Ragananthini Vethasalam

Menteri Sumber Manusia M Saravanan berkata, pihaknya akan menilai situasi pada hujung tahun ini sebelum mempertimbangkan kebenaran pengambilan pekerja asing. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Jun, 2020.

PENGAMBILAN pekerja asing dibekukan hingga hujung tahun ini, kata Menteri Sumber Manusia M Saravanan hari ini. 

“Kita tidak akan membenarkan pengambilan pekerja asing sehingga akhir tahun ini, katanya pada satu sidang media. 

Menurutnya, keutamaan akan diberikan untuk membantu warga tempatan mencari pekerjaan.

Kerajaan katanya, akan menilai situasi pada hujung tahun ini sebelum mempertimbangkan kebenaran pengambilan pekerja asing. 

Menurut jumlah terkini, kadar pengangguran adalah kira-kira 5.5% atau 860,000, katanya.

Tabung Pembangunan Sumber Manusia (HRDF), yang merupakan sebuah agensi di bawah kementerian berkenaan, cuba untuk mewujudkan 40,000 peluang pekerjaan di bawah inisiatif Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana).

Terdapat lima inisiatif HRDF di bawah Penjana.

Inisiatif tersebut adalah penempatan dan latihan, peningkatan kemahiran dan latihan kemahiran baru, pembangunan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), pembangunan B40 serta gerak insan gemilang (GIG).

Tambah Saravanan, kerajaan mengambil langkah proaktif untuk menangani masalah pengangguran berikutan pandemik.

Beliau turut menasihatkan rakyat Malaysia agar mengambil apa sahaja peluang kerja terutamanya ketika krisis ekonomi global.

“Rakyat Malaysia perlu mengubah pemikiran mereka dan menerima apa sahaja peluang pekerjaan yang ada.

“Sekiranya rakyat Malaysia boleh menerima peluang kerja yang ada, kita tidak lagi memerlukan pekerja asing,” tambahnya.

Saravanan juga berkata, sekiranya rakyat Malaysia sedia menerima pekerjaan yang ada, kadar pengangguran boleh dikurangkan. – 22 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen