KENYATAN Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi yang parti itu tidak akan menjadi sebahagian daripada Perikatan Nasional tidak dibincangkan dengan PAS, kata Takiyuddin Hassan.
Setiausaha agung PAS itu berkata parti Islam itu masih menyokong kerajaan PN diterajui Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan akan terus berbuat demikian sehingga Pilihan Raya Umum ke-15.
“Berdasarkan perjanjian dan kita (sebagai) parti Islam, kita berpegang pada janji.
“Perkembangan (yang berlaku) ialah kita (kini) bersama PN, jadi menjadi tanggungjawab (kita) memperkukuh dan pertahankan kerajaan ini,” katanya dipetik Astro Awani.
Dahulunya musuh kesumat, PAS dan Umno kini adalah sekutu dalam Muafakat Nasional, yang diasaskan tahun lepas selepas Umno dan Barisan Nasional disingkir dari Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke-14.
Tetapi, Takiyuddin berkata PAS tidak dimaklumkan tentang pendirian Umno yang mereka tidak merancang menyertai PN kerana isu itu tidak pernah dibincangkan dalam Muafakat Nasional.
Tambahnya, isu itu akan dibangkitkan dalam mesyuarat kedua-dua parti terbesar Melayu Islam itu tidak lama lagi.
“Kita pun tidak pasti berhubung perkara itu (kenyataan Zahid), Umno kata nak bincang dengan PAS dan saya difahamkan minggu depan baru kita akan mengadakan perbincangan.
“Perkara ini mesti kena bincang. Kita tidak mempunyai sebarang masalah kerana sering mengadakan perbincangan menerusi Muafakat Nasional,” katanya dipetik Berita Harian Online.
Zahid pada Khamis lalu berkata, Umno memutuskan untuk tidak menyertai PN sebagai parti komponennya, sebaliknya terus bekerjasama dengan PAS menerusi Muafakat Nasional dan mengukuhkan kembali BN.
Zahid berkata sokongan Umno kepada PN hanyalah wakil rakyatnya akan menyokong kerajaan PN di peringkat persekutuan dan beberapa buah negeri.
Setiausaha Agung Umno Annuar Musa juga berkata tidak ada isu “meninggalkan” PN kerana kerjasama itu bukanlah pakatan politik rasmi.
Kenyataan itu dikeluarkan ketika Bersatu dikatakan sedang berusaha untuk menyertai Muafakat Nasional, yang kata Zahid keputusan mengenainya terserah kepada jawatankuasa pusat Muafakat Nasional yang turut dianggotai pemimpin PAS. – 1 Ogos, 2020.
Komen