9 kes baharu Covid-19 hari ini


Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata pertambahan kes baharu itu menjadikan jumlah kumulatif kini 8,985 kes. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Ogos, 2020.

SEBANYAK sembilan kes baharu positif Covid-19 dikesan hari ini berbanding 12 semalam dengan tujuh daripadanya adalah kes import dan dua lagi penularan tempatan.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata pertambahan kes baharu itu menjadikan jumlah kumulatif kini 8,985 kes dengan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan sebanyak 213 kes.

Kes import itu melibatkan lima warganegara dan dua bukan warganegara, manakala kes penularan tempatan pula masing-masing seorang warga tempatan dan warga asing.

“Perincian kes penularan dalam negara membabitkan warganegara adalah di negeri Kedah. Kes itu daripada Kluster PUI Sivagangga.

“Bagi kes bukan warganegara pula adalah di negeri Selangor dan kes itu daripada Kluster Bukit Tiram,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata terdapat tiga kes pulih dan dibenarkan discaj hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan pulih sepenuhnya sebanyak 8,647 kes atau 96.2 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Tambahnya, terdapat hanya dua kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), dengan satu daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Tiada pertambahan kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif maut akibat wabak itu kekal sebanyak 125 kes atau 1.39 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Mengenai satu kes baharu melibatkan kluster Bukit Tiram hari ini, Dr Noor Hisham berkata, ia merupakan kes pertama kluster itu yang dikesan di luar Johor. – Bernama, 1 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen