Kes pertama Covid-19 rentas sempadan Johor-Selangor dikesan


KLUSTER Bukit Tiram di Johor kini sudah merentas sempadan apabila satu kes berkaitan kluster itu dikesan di Selangor, kata Kementerian Kesihatan.

Daripada sembilan kes baharu dilaporkan hari ini, satu dikaitkan dengan Kluster Bukit Tiram yang kini mempunyai 10 kes positif, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan, hari ini.

Daripada 10 kes positif berkaitan Kluster Bukit Tiram, sembilan kes dikesan di Johor.

“Melalui siasatan dan aktiviti pengesanan kontak rapat secara aktif (Active Case Detection) yang dijalankan oleh Pejabat Kesihatan Daerah, kes positif ke-8893 (dari Johor) didapati menginap di rumah kes ke-8977 pada 16 Julai 2020 sehingga 19 Julai 2020 di Selangor,” katanya.

“Ujian saringan Covid-19 kali kedua dijalankan apabila kes ke-8977 mengalami gejala batuk dan sakit tekak. Beliau dikesan positif dan kini dirawat di Hospital Sungai Buloh.”

Ini adalah kes Covid-19 rentas sempadan pertama dikesan sejak Kluster Sri Petaling yang menjangkiti 3,375 orang di seluruh negara.

Kluster Seri Petaling yang mula dikesan pada 11 Mac menyaksikan 42,023 orang disaring dengan 34 kematian direkodkan. KKM menutup kluster itu 4 bulan kemudian pada 8 Julai.

Menurut Dr Noor Hisham, seramai 135 orang berkaitan Kluster Bukit Tiram, Johor sudah disaring. Daripada jumlah itu, 10 disah positif, 124 negatif dan seorang masih menunggu keputusan ujian. – 1 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen