POS Malaysia menangguhkan semua penghantaran antarabangsa, kecuali ke Singapura, berkuat kuasa 3 Ogos ekoran gangguan penghantaran akibat pandemik Covid-19.
Dalam satu kenyataan pagi tadi, syarikat pos dan kurier nasional itu berkata hanya perkhidmatan pos ke Singapura yang akan diteruskan kerana kerajaan telah bersetuju untuk meneruskan sebahagian perjalanan rentas sempadan.
“Perkhidmatan mel dan bungkusan antarabangsa dan Express Mail Service (EMS) akan dihentikan sementara ke semua destinasi antarabangsa kecuali Singapura mulai 3 Ogos 2020 sehingga diberitahu kelak.
“Ia disebabkan impak Covid-19 yang mengakibatkan tahap sekatan yang berbeza di negara-negara destinasi terhadap penerbangan, penutupan lapangan terbang dan perkhidmatan rentas sempadan,” kata Pos Malaysia dalam satu kenyataan yang disiarkan di Twitter.
Malaysia ketika ini sedang pulih dari pandemik Covid-19 namun menyaksikan peningkatan kes positif.
Hal ini menyebabkan Putrajaya mengeluarkan peringatan kepada orang ramai bahawa perintah kawalan pergerakan mungkin akan dilaksanakan semula kes positif harian menjangkau tiga angka.
Semalam, negara ini terus mencatatkan lebih banyak kes Covid-19 baharu daripada kes yang pulih dengan lapan kes baharu dilaporkan berbanding lima yang dibenarkan pulang.
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes tambahan itu menjadikan jumlah kes aktif sebanyak 223 orang, dan jumlah kumulatif nasional adalah 8,964.
Katanya, 8,617 orang pulih dari Covid-19, termasuk lima orang yang dibenarkan pulang pada hari Khamis.
Malaysia kini menyaksikan 14 hari berturut-turut peningkatan lebih banyak kes baharu daripada pemulihan. – 31 Julai, 2020.
Komen