PELANGGAN peniaga dalam talian dan jumpa terus atau walk-in Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia) bakal menikmati diskaun sebanyak 20 peratus menerusi kempen ‘Ready for Raya’ bersempena sambutan Aidilfitri akan datang.
Ketua Pemasaran Kumpulan Pos Malaysia Schrene Goh berkata promosi itu yang bermula hari ini hingga 15 Mei melibatkan perkhidmatan penghantaran Pos Laju ke mana-mana destinasi di Malaysia serta penghantaran antarabangsa menerusi Express Mail Service (EMS) dan Air Parcel untuk semua berat kiriman ke seluruh dunia.
“Kempen pertama kalinya yang mengabungkan produk domestik dan antarabangsa ini turut merangkumi produk Pos Laju yang popular iaitu sampul dan kotak Prabayar Pos Laju dan sampul Flexiprepaid
“Diskaun ini boleh didapati di semua touchpoints Pos Malaysia dan ejen Pos Laju manakala bagi produk prabayar, pelanggan boleh mendapatinya melalui perkhidmatan dalam talian di Eziemall (eziemall.com) dan Pos Official Store di Shopee (shoppe.com.my.posofficialstore),” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini.
Goh menambah, sepanjang tempoh promosi itu juga pelanggan yang menggunakan perkhidmatan terpilih zakat, ASNB, pembaharuan insurans kenderaan dan cukai jalan atau penghantaran wang antarabangsa melalui Western Union di 681 pejabat pos di seluruh negara turut berpeluang memenangi hadiah wang tunai sebanyak RM80,000 melalui peraduan ‘Menang Duit Raya’.
“Hadiah wang tunai RM1,000 menanti lima pemenang bertuah manakala RM500 pula akan diberikan setiap minggu kepada 10 pemenang sepanjang tempoh lapan minggu.
“Pelanggan hanya perlu membelanjakan RM100 ke atas untuk perkhidmatan yang terpilih dan jawab soalan ringkas. Peserta hanya perlu menghantar jawapan serta butiran peribadi melalui SMS ke 62033,” katanya.
Untuk maklumat lanjut berkenaan promosi pelanggan boleh melayari www.pos.com.my/promotions atau hubungi 1-300-300-300. – Bernama, 16 Mac, 2020.
Komen