
“MELAYU mudah lupa” itu sebenarnya Dr Mahathir Mohamad, kata Presiden Umno Najib Razak, kerana bekas perdana menteri itu kini bekerjasama dengan DAP, musuh politik dan musuh prinsipnya selama berpuluh tahun dulu.
Jelas Najib, orang Melayu yang berpegang kepada roh dan falsafah perjuangan Umno tidak akan jadi Melayu yang mudah lupa.
Tetapi Dr Mahathir, kata Najib, sudah melampaui batas apabila bekerjasama DAP, musuh politik Umno yang diibaratkannya seperti “minyak dan air” yang sampai bila-bila pun tidak akan bersatu dengan Umno.
“Jelasnya, Melayu mudah lupa itu merujuk kepada dirinya sendiri kerana orang-orang yang tetap berpegang kepada roh dan falsafah perjuangan parti seperti kita semua, Insya-Allah tidak sesekali menjadi Melayu yang mudah lupa seperti mereka,” katanya berucap pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) di Kuala Lumpur, hari ini.
Menurut Najib, tindakan Dr Mahathir yang melampaui batas itu adalah untuk “kepentingan peribadi dan keluarga”.
“Di pentas ini juga beliau mengingatkan kita bahawa Melayu mudah lupa. Namun pada kita, this man has crossed the line (beliau sudah melampaui batas) apabila tergamak bersubahat dan bersekutu, dengan ‘musuh politik’ dan ‘musuh prinsip’ beliau selama puluhan tahun yang lalu.
“Hanya-sanya untuk memenuhi tembolok agenda kepentingan peribadi dan keluarga semata-mata,” katanya.
Menurut Najib, Dr Mahathir kini sedang dijadikan “perkakas” oleh DAP, sebuah parti yang “terang-terang anti Melayu dan Islam”.
Dr Mahathir menarik sokongan kepada pentadbiran perdana menteri dan jadi pengkritik No. 1 Najib berhubung skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Beliau kemudian keluar Umno pada Februari 2016 dan menubuhkan Bersatu, yang kemudian bergabung dengan DAP, PKR dan Amanah dalam Pakatan Harapan (PH).
“Parti Bunga Raya ini, bukan nak mengata, maaf cakaplah… kita tidak nampak di mana nilai yang cuba dibawanya,” kata Najib, menggunakan istilah yang lazim dipakai oleh ahli Umno apabila menyebut Bersatu.
“Katanya ingin berjuang untuk orang-orang Melayu dan Islam, tetapi berpakat dan sedang dijadikan ‘perkakas’ oleh DAP yang terang-terang anti Melayu dan Islam.”
Dr Mahathir kini adalah pengerusi PH.
PH hujung minggu lalu mencadangkan Dr Mahathir sebagai calon perdana menterinya sekiranya pakatan pembangkang itu menang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), yang perlu diadakan sebelum Ogos tahun depan.
Cadangan itu bagaimanapun belum mendapat persetujuan PKR.
Biro Politik PKR yang bermesyuarat pada Selasa tidak membuat keputusan menerima atau menolak cadangan itu sebaliknya bersetuju untuk terus membincangkannya pada peringkat parti.
Penganalisis politik pada masa sama menyifatkan Dr Mahathir adalah pencabar paling kuat untuk menjatuhkan pentadbiran Najib.
Najib dalam ucapannya membuka PAU hari ini bagaimanapun memperlekehkan Bersatu pimpinan Dr Mahathir.
“Kalau nak menguruskan hal ehwal mesyuarat pun gagal, lagu mana nak uruskan negara?
“Cuma, bila sampai pilihan raya nanti, kalau masih belum selesai lagi hal mereka, janganlah nak tuding kesalahan kepada orang lain, terutamanya kerajaan,... kan?”
Najib merujuk kepada urusan pendaftaran Bersatu yang masih tersangkut dengan Pendaftar Pertubuhan (RoS). – 7 Disember, 2017.
Komen
Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Amera amani · Ulasan