Umno bukan anti Cina atau rasis, kata Najib


Diyana Ibrahim

Presiden Umno Najib Razak semasa acara menaikkan bendera parti bersempena Perhimpunan Agung Umno ke-71 di Pusat Dagangan Dunia Putra, hari ini. Beliau berkata Umno menjadi mangsa politik persepsi pihak pembangkang sehingga menyebabkan kaum Cina dan India percaya akan momokan tersebut. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 7 Disember, 2017.

PERDANA Menteri Najib Razak menafikan Umno sebagai sebuah parti anti Cina atau bersikap rasis dan pembangkang bertanggungjawab kepada persepsi itu.

Menurut beliau, Umno menjadi mangsa politik persepsi pihak pembangkang sehingga menyebabkan kaum Cina dan India percaya akan momokan tersebut.

“Umno bukan parti bersifat rasis. Jika tidak bagaimana kita diterima, mengepalai parti komponen daripada pelbagai bangsa sejak puluhan tahun dengan berhemah?

“Tegasnya, saya ulang Umno bukan anti kaum Cina tetapi ternyata kaum Cina dan sebahagian kaum India turut terseret, terperangkap menjadi mangsa persepsi dan pembohongan pembangkang,” katanya dalam ucapan dasar presiden semasa Persidangan Perhimpunan Agung Umno ke-71 di Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini.

Katanya, Umno merupakan parti yang melampaui segalanya kerana meraikan kepelbagaian dalam negara dan percaya kepada keharmonian, dan hidup saling melengkapi bersama.

Bercakap di hadapan 5,000 pewakilan Umno, kata Najib, Umno sebenarnya menjadi mangsa persepsi politik pembangkang sehingga ia hampir tewas walaupun berada di landasan yang betul.

“Semua orang tahu Umno tidak lemah, kita masih menang malah kita masih menang dan berjaya menambah jumlah kerusi daripada 79 kepada 88 kerusi Parlimen.

“Namun akibat permainan jelek pembangkang, kita menjadi mangsa politik persepsi.

“Inilah dinamakan perang persepsi di mana kita hampir tewas akibat permainannya, walaupun dari sudut realiti dan faktanya kita berada di landasan yang betul dan bersungguh- sungguh berjuang berbanding pembangkang yang penuh dengan sandiwara,” katanya. – 7 Disember, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Bukan sifat rasis tp tindak rasis

    Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Leslie Chan · Ulasan

  • kalau betul semua dakwaan yg umno ni anti bangsa lain dah lama cina dgn india kat negara ni mati..mereka akan terus hidup susah..tp cuba lihat..mereka sama2 naik & ade segelintir mereka yg menunjukkan sikap rasis terhadap kaum lain..

    Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Amera amani · Ulasan