PENGGIAT seni mempunyai hak untuk bersuara mengenai isu negara kerana mereka adalah sebahagian daripada rakyat Malaysia, kata Persatuan Seniman Malaysia, Persatuan Seniman Malaysia (Seniman).
Presidennya, Zed Zaidi mengulas tindakan beberapa seniman yang menyuarakan kebimbangan mereka terhadap ekonomi negara seperti penyanyi, Sheila Majid dan pengacara terkenal Aznil Nawawi.
“Artis juga ada hak bersuara. Kepelbagaian komen dan pendapat wujud sebab adanya media sosial. Jadi, untuk artis bersuara, wujudkan kembali lantikan senator dalam dunia seni seperti Arwah Jins Shamsuddin untuk menyalurkan keluhan dengan betul.
“Bagi saya, kepimpinan terkini mentadbir negara mesti mendengar keluhan kita sebab kena cari formula terbaik membantu golongan industri seni dan rakyat Malaysia,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insight.
Pelakon drama Sembilu itu bagaimanapun menangkis hujah Sheila Majid yang mengulas mengenai ekonomi negara.
“Kita kena faham kepimpinan sedia ada sedang mencari formula untuk membantu rakyat dan juga artis yang terkesan dengan kegawatan ekonomi itu.
“Jadi kita kena bersabar dan kena percaya dan membantu meningkatkan ekonomi kita. Dulu waktu 1997-1998, ekonomi lagi gawat, mereka juga mengeluh tetapi waktu itu tiada media sosial,” katanya lagi.
Ratu jazz Sheila Majid melalui status twitternya baru-baru ini menyuarakan kebimbangan yang menimpa rakyat Malaysia.
Bagaimanapun, penyanyi yang terkenal dengan lagu Sinaran itu pula menyebut mana-mana parti politik.
“Makanan mahal, ringgit lemah, kos sara hidup tinggi dan kerja kurang. Rakyat Malaysia jadi letih dan marah sebab diperas atas hutang yang kita tak buat.
“Hentikan buat alasan dan cari kesalahan. Fokus kepada kembalikan negara kita ke landasan sebenar! Mengecewakan,” kata Sheila yang mempunyai 214,000 pengikut di Twitter.
Malah, Dr Mahathir Mohamad turut mengucapkan terima kasih kepada Shiela kerana berani menyuarakan pandangannya itu.
Dalam pada itu, penyanyi terkenal, Zainal Abidin bersetuju dengan pandangan Sheila yang menzahirkan keperitan hidup penggiat seni yang terkesan dengan kos sara hidup yang tinggi.
“Kita (artis) kena bayar GST, tol dan insurans, cukai jalan dan parking. Kita juga kena bayar cukai pendapatan. Untuk Bajet 2018 adakah kita dengar untuk golongan seni? Jadi, bagaimana kita nak sokong mereka jika mereka tidak sokong kita?
“Mesej saya pada pemerintah, jika anda mahu disayangi anda perlu buat anda disayangi. Untuk semua artis lain, sebelum anda mengundi, undilah kepada orang yang menjaga anda dan bukannya menggunakan anda.
“Pilihlah yang membantu dan memartabat industri kreatif dan hiburan,” kata penyanyi yang popular dengan lagu Hijau itu.
Sheila bagaimanapun enggan mengulas lanjut selepas statusnya menimbulkan reaksi banyak pihak termasuk Pengarah Bahagian Komunikasi Strategik Jasa, Tun Faisal Ismail Aziz.
Kalau ikut dia negara2 ni off track dan lebih teruk drpd Malaysia. Bila tweet tu gunalah akal dan fakta pic.twitter.com/5mRplqEQgY
— Tun Faisal (@tunfaisal) December 5, 2017
Dalam pada itu, bagi penulis lirik Buddhi Hekayat, suara artis mengenai kos sara hidup adalah sebahagian daripada suara rakyat.
Namun, artis tidak harus melihat cenderung dengan ke arah mana-mana parti politik.
“Artis ada hak bersuara bagi pihak rakyat dan ada pengaruh yang besar. Saya lebih baik bercakap keluhan rakyat tanpa terperangkap dengan permainan mana-mana parti politik.
“Artis bersuara, ia menunjukkan ruang demokrasi lebih baik berbanding sebelum ini kerana sebelum ini ruangnya lebih sempit.
“Kita ambil positif ada ruang kebebasan suara dan lebih terbuka,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Selain Sheila, pelakon popular Fathiah Latiff turut mempersoalkan cadangan mendakwa Dr Mahathir terhadap kerugian forex Bank Negara Malaysia pada 1980-an selepas laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja dikeluarkan minggu lepas.
Beliau juga mempersoalkan mengapa penyiasatan 1Malaysia Development Bhd tidak didedahkan kepada orang ramai. – 7 Disember, 2017.
Komen
Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Bird dichi · Ulasan
Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Tanahair Ku · Ulasan