PUTRAJAYA tiada angka petunjuk khusus untuk melaksanakan semula perintah kawalan pergerakan, kata timbalan menteri kesihatan Noor Azmi Ghazali, ketika kes jangkitan baharu Covid-19 kembali bertambah sejak beberapa hari lalu.
Katanya, kerajaan menimbang akan melaksanakan semula PKP jika kes Covid-19 naik mendadak dengan banyak, seperti yang disentuh oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dalam ucapannya pada Isnin.
“Tidak ada angka yang tepat, dua digit atau tiga digit, yang tepatnya jika ada kes yang banyak dan mendadak,” katanya pada sidang media di Parlimen.
Noor Azmi menjawab pertanyaan daripada wartawan bila kerajaan akan mempertimbangkan semula PKP susulan kenaikan kes positif wabak Covid-19, kembali kepada dua digit sejak beberapa hari lalu.
Setakat semalam, Kementerian Kesihatan mengesan 15 kes baharu menjadikan keseluruhan 8,815 kes, dengan 130 aktif.
Ditanya sama ada wujud kemungkinan Sarawak dikenakan PKP, Noor Azmi berkata siasatan akan dilakukan terlebih dahulu sebelum membuat keputusan.
Beliau berkata penguatkuasaan PKP juga sama seperti sebelum ini yang tertakluk kepada lokaliti saja.
“Kementerian Kesihatan akan siasat dulu baru buat keputusan tapi buat masa ini kita masih tidak ada keputusan lagi,” katanya. – 22 Julai, 2020.
Komen
Dimuat naik 5 tahun yang lalu oleh Masfaliza masmuda · Ulasan