Najib mahu jadi PM lagi jika bebas tuduhan, kata Dr Mahathir


Chan Kok Leong

Penghakiman kes SRC International melibatkan Najib Razak akan diumumkan 28 Julai ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Julai, 2020.

BEKAS perdana menteri Najib Razak akan membuat kemunculan semula jika beliau tidak disabitkan bersalah atas pertuduhan korupsi dan pengubahan wang haram berkaitan kes SRC International minggu depan, kata Dr Mahathir Mohamad.

“Jika dia didapati tak bersalah, saya fikir dia akan mahu jadi perdana menteri lagi,” katanya kepada The Malaysian Insight.

“(Tetapi) Jika dia kalah di mahkamah, sudah tentu dia hilang kelayakan,” kata negarawan berusia 95 tahun itu ketika ditemui di pejabatnya di Yayasan Al-Bukhary.

Dr Mahathir yang sudah dua kali jadi perdana menteri itu berkata demikian ketika menjawab soalan sama ada Perikatan Nasional (PN) akan menamakan Muhyiddin Yassin sebagai calon perdana menteri mereka pada pilihan raya akan datang.

Wujud juga cakap-cakap yang pilihan raya baharu akan diadakan tahun ini kerana Muhyiddin cuba mendapatkan mandat pentadbiran sendirinya.

“Umumnya, ahli Umno merasakan yang Umno perlu menerajui kerana mereka ada sokongan. Hakikatnya, mereka sudah beritahu Bersatu yang walaupun mereka dalam PN sekarang, mereka masih mahu bertanding lawan Bersatu pada pilihan raya akan datang.

“Umno percaya ia adalah parti terbesar dalam PN dan mereka mahu pegang tunjang kuasa,” katanya yang juga bekas presiden Umno itu.

Najib Razak akan mahu jadi perdana menteri lagi jika bebas pertuduhan di mahkamah, kata Dr Mahathir Mohamad. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 22 Julai, 2020.

Barisan Nasional sekarang adalah blok terbesar dalam PN dengan 42 wakil rakyat, diikuti Bersatu (31), PAS (18) dan GPS (18).

Daripada 31 wakil rakyat Bersatu itu, 15 orang adalah bekas Umno dan 10 bekas PKR. Bersatu hanya mempunyai enam orang wakil rakyat berbanding jumlah kerusi yang dimenanginya pada 2018 selepas parti itu memecat seorang lagi wakil rakyat setia kepada Dr Mahathir – Shahruddin Salleh (Sri Gading).

Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali menetapkan 28 Julai untuk mengeluarkan penghakiman kes SRC Inteernational Sdn Bhd melibatkan Najib.

Najib didakwa atas pertuduhan salah guna kuasa selaku perdana menteri untuk memberikan jaminan kerajaan bagi pinjaman SRC International berjumlah RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) pada 2011 dan 2012.

Beliau turut dituduh dengan tiga pertuduhan pecah amanah dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram mencecah RM42 juta.

Pasukan pembelaan Najib berhujah bekas perdana menteri itu tidak menyedari wujudnya transaksi wang dipindahkan dari akaun SRC International ke dalam akaun bank peribadinya dan bagaimana wang itu digunakan.

Najib juga berdepan empat pertuduhan berasingan salah guna kuasa untuk mengayakan dirinya dengan suapan RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram jumlah yang sama.

Beliau juga dituduh salah guna kuasa dalam kes pindaan laporan akhir audit 1MDB.

Dr Mahathir juga berkata kedudukan Muhyiddin sebagai perdana menteri sangat goyah terbukti di Parlimen minggu lepas apabila PN hanya meraih 113 sokongan daripada 222 ahli Parlimen.

“Disebabkan itu, dia cuba terus berkuasa dengan menggunakan pelbagai kaedah yang sangat tidak demokratik. Ini termasuklah mengenakan tekanan ke atas partinya sendiri untuk menyokongnya, malah menggunakan wang untuk meraih sokongan orang.

“Tetapi, kami merasakan kita perlu kembali keputusan asal rakyat iaitu Pakatan Harapan adalah pilihan rakyat.

“Jadi kami merasakan bila sudah disokong rakyat, kami perlu kekalkan sokongan dengan kembali menjadi kerajaan,” kata Dr Mahathir.

Perikatan Nasional diterajui Muhyiddin Yassin tiada majoriti besar dan wujud cakap-cakap pilihan raya baharu akan diadakan lebih awal. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Julai, 2020.

PN hanyalah kerjasama ambil kesempatan

Bekas pengerusi Bersatu itu juga berkata PN bukanlah gabungan kerjasama politik yang baik.

“Pertama sekali, sebenarnya tiadapun perikatan. Ada perbincangan, diketuai Muhyiddin, kemudian PN wujud.

“Tetapi, ia tak pernah didaftarkan. Ia tiada pejabat. Ia hanya ada dalam fikiran orang tertentu. Hanya Muhyiddin beri tanggapan wujudnya perikatan.

“Saya beritahu dia jika dia sertai mereka, dia akan bekerja dengan kleptokrat dari Umno, saya tak bersedia buat begitu.

“Dan saya tak boleh terima Umno semuanya tetapi Muhyiddin kata dia sedia bekerja dengan Najib. Dan begitulah bagaimana dia jadi ketua mereka dan akhirnya jadi perdana menteri.”

Dr Mahathir, yang juga ahli Parlimen Langkawi, berkata, rancangannya memang untuk menumbangkan PH dan menggantikannya dengan kerajaan disertai kleptokrat.

“Untuk buat itu, mereka perlu dapatkan lebih sokongan Melayu, yang hanya datang dari Bersatu, jadi mereka pujuk Bersatu beralih arah, dengan kata DAP akan musnahkan orang Melayu.

“Orang Melayu percaya dan jadi takut. Jadi, sebilangan ahli Bersatu buat keputusan tinggalkan PH kerana DAP. Saya tak setuju dengan ini.

“Saya kata ‘tunggu dulu, jangan buat keputusan sekarang’ tetapi mereka tolak saya. Mereka buat keputusan mahu keluar sekarang.

“Selepas itu, Muhyiddin diterima Umno dan PAS untuk mencukupkan jumlah bagi bentuk kerajaan. Saya tak akan bekerja dengan kumpulan ini kerana adanya Najib,” kata Dr Mahathir. – 22 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen