Bersatu bergantung pada Umno, PAS di kerusi asal PRU14


Chan Kok Leong

Bersatu yang memiliki 32 ahli Parlimen merupakan blok kedua terbesar dalam Perikatan Nasional. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Julai, 2020.

BERSATU boleh berbangga presiden parti Muhyiddin Yassin mengetuai kerajaan sekarang dan parti itu dengan 32 ahli Parlimen adalah blok kedua terbesar dalam Perikatan Nasional.

Hakikatnya, hanya tujuh daripada 32 ahli Parlimennya menang pilihan raya mewakili parti sementara 25 yang lain adalah wakil rakyat yang melompat parti dari Umno dan PKR.

Dalam pilihan raya umum 2018, Bersatu menang 12 daripada 52 kerusi yang ditandinginya dengan menumpang populariti Dr Mahathir Mohamad, gelombang sentimen anti Barisan Nasional serta dukungan lebih 90% pengundi bukan Melayu.

Bersatu bagaimanapun kemudian menyingkirkan Dr Mahathir yang menang kerusi Parlimen Langkawi dan empat ahli Parlimen lain termasuk timbalan presiden Mukhriz Mahathir (Jerlun) dan ketua pemuda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muar).

Dua lagi yang dikenakan tindakan parti ialah bekas menteri pendidikan Dr Maszlee Malik (Simpang Renggam) dan bekas timbalan menteri kewangan Amirudin Hamzah (Kubang Pasu).

Tujuh lagi kerusi Parlimen Bersatu yang dimenangi dalam pilihan raya umum dua tahun lalu ialah Tambun, Sungai Besar, Kuala Pilah, Alor Gajah, Pagoh, dan Sri Gading.

Daripada tujuh kerusi itu, Pagoh nampak paling kukuh di atas keras kerana disandang oleh Muhyiddin selama lapan penggal. Beliau mewakili kerusi itu kali pertama antara 1978 hingga 1986 dan kemudian sejak 1995 sampai sekarang.

Selain Dr Mahathir, Tengku Razaleigh Hamzah, dan Anwar Ibrahim, Muhyiddin adalah antara ahli Parlimen yang menang kerusi tradisi Umno selepas tidak lagi bersama parti itu.

Sokongan bukan Melayu terhadap Bersatu dijangka merosot teruk susulan daripada kemelut politik pada Februari lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Julai, 2020.

Namun kemenangan pada 2018 bukanlah sesuatu yang mudah bagi Muhyiddin.

Walaupun tujuh penggal menang di Pagoh, jumlah undi Muhyiddin merosot sehingga 11 mata kepada 55.2% dalam pilihan raya umum 2018.

Ini angka yang signifikan kerana biarpun dengan gelombang anti BN dan rekod Muhyiddin di Pagoh, 38.9% undi memihak kepada calon Umno Ismail Mohamed. Ini menunjukkan sokongan hampir 40% terhadap Umno di Pagoh.

Tanpa sokongan bukan Melayu yang dijangka akan merosot teruk ekoran kemelut politik pada Februari lalu, yang turut ditempa oleh Muhyiddin sendiri, beliau tentunya memerlukan sokongan Umno untuk menang bagi penggal kesembilan.

Trend ini juga di semua enam kerusi Bersatu yang lain.

Tidak seperti ahli Parlimen Umno yang melompat masuk Bersatu, kerusi asal Bersatu mempunyai bilangan pengundi Melayu yang agak rendah. Sebagai perbandingan, kerusi yang dimenangi oleh wakil rakyat Umno yang menyertai Bersatu mempunyai purata 85% pengundi Melayu sementara tujuh kerusi Bersatu hanya ada 68%.

Dengan undi bukan Melayu dijangka merosot teruk, tujuh kerusi itu akan sangat bergantung pada sokongan Umno dan PAS.

Kemenangan Muhyiddin dengan majoriti 16.2% undi adalah yang tertinggi manakala yang lain menang dengan purata majoriti 7.47%.

Margin kemenangan kedua tertinggi ialah di Alor Gajah dengan 12.7% namun Mohd Redzuan Md Yusof dibantu oleh 39% undi bukan Melayu. Sebelum kemenangannya pada pilihan raya umum yang lalu, Alor Gajah adalah kerusi MCA antara 2004 hingga 2018. Kerusi itu juga mungkin akan dituntut oleh MCA dalam pilihan raya akan datang.

Muhyiddin Yassin mungkin memerlukan sokongan Umno dan PAS untuk terus menang di kerusi Parlimen Pagoh selepas 8 penggal memegang kerusi itu.  – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Julai, 2020.

Menang kerana tiga penjuru

Selain perlu mendapatkan sokongan bukan Melayu, masalah utama Bersatu ialah meyakinkan BN untuk menyerahkan kerusi yang boleh dimenangi oleh parti itu.

Daripada tujuh kerusi asal Bersatu, lima dimenangi kerana gagalnya strategi tiga penjuru yang dipakai oleh BN dan PAS.

Di Sungai Besar misalnya, Muslimin Yahaya hanya dapat 42.1% undi selepas undi pecah antara Umno dan PAS.

Muslimin hanya menang dengan majoriti 1.74% atau 714 undi mengatasi Budiman Mohd Zohdi (Umno) dan Mohamed Salleh Husin (PAS).

Keadaan sama juga berlaku di Kuala Pilah dengan Eddin Syazlee Shith mengatasi Hasan Malek (Umno) dengan 200 undi selepas calon PAS Rafiei Mustapha meraih 4,347 undi.

Begitu juga di Titiwangsa, bekas menteri kewangan kedua Johari Abdul Ghani boleh dengan mudah mengalahkan Rina Harun sekiranya pertandingan satu lawan satu.

Kerusi lain yang dimenangi dengan kurang daripada 50% undi ialah Tambun dan Sri Gading.

Sekiranya BN dan PAS menggunakan strategi satu lawan satu seperti dalam pilihan raya kecil Semenyih dan Cameron Highlands, ia boleh menang mudah.

Semua tujuh kerusi asal Bersatu mempunyai sekurang-kurangnya 30% pengundi bukan Melayu dan semua kerusi itu dimenangi kerana strategi tiga penjuru.

Untuk Bersatu mengekalkan kerusi berkenaan, ia harus bergantung pada sokongan penuh BN dan PAS.

Sebagai perbandingan, BN boleh menang kerusi ini dengan sendiri tanpa Bersatu kerana dukungan bukan Melayu terhadap Pakatan Harapan juga mungkin akan pecah.

Namun persoalannya adalah BN, atau Umno terutamanya, sedia melepaskan peluang untuk merebut semula sekurang-kurangnya enam daripada tujuh kerusi asal Bersatu.– 14 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen