Dakwaan Muhyiddin tawar jawatan pada Umno di Dewan Rakyat


Diyana Ibrahim

Rakaman didakwa bukti tawaran jawatan kepada ahli Parlimen Umno sebagai balasan menyokong Muhyiddin Yassin dihalang daripada dimainkan di Dewan Rakyat hari ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Julai, 2020.

RAKAMAN didakwa bukti tawaran jawatan kepada ahli Parlimen Umno sebagai balasan menyokong Muhyiddin Yassin dihalang daripada dimainkan di Dewan Rakyat hari ini.

Ahli Parlimen Bukit Gelugor Ramkarpal Singh memohon agar rakaman itu dimainkan semasa sidang Dewan Rakyat namun disekat oleh Timbalan Speaker Azalina Othman Said.

Beliau bagaimanapun terlebih dahulu berjaya membaca transkrip rakaman tersebut sewaktu persidangan.

Mengulas perkara itu, Ramkarpal ketika bercakap dengan pemberita kemudian berkata Azalina sepatutnya membenarkan rakaman itu dimainkan bagi menyokong perbahasannya.

“Saya kesal kerana saya patut diberi peluang. Ini adalah sebahagian dari perbahasan saya. Isunya adalah suara siapa dalam rakaman tersebut, bukan kandungannya,” katanya.

Ramkarpal berkata Dewan juga menolak soalan kepada Muhyiddin untuk mengesahkan sama ada benar rakaman itu mengandungi suara ahli Parlimen Pagoh tersebut.

Beliau seterusnya menuntut menteri dalam negeri menjelaskan status siasatan polis ke atas rakaman itu, susulan laporan dibuat DAP pada Jun lalu.

Rakaman itu didakwa menunjukkan bukti Muhyiddin menawarkan jawatan kepada ahli Parlimen Umno sebagai sokongan untuk membolehkan beliau menjadi perdana menteri.

Ia didakwa berlaku sebelum Muhyiddin mengambil alih pentadbiran bersama PAS, Umno dan sebilangan puak Azmin Ali dari PKR.

Ram memberitahu wartawan, rakaman itu sepatutnya dapat dimainkan kerana Dewan pernah membenarkan permintaan serupa oleh mendiang bapanya, mendiang Karpal Singh.

“Saya tak tahu bila (tahun apa) tapi bekas ahli Parlimen Gelugor juga pernah memainkan rakaman audio di Parlimen.

“Kita nak mainkan rakaman bukan saja-saja tapi kerana ia merupakan sebahagian daripada ucapan saya. Ucapan saya tidak lengkap jika tidak ada rakaman audio,” katanya.

Ditanya sama ada beliau akan cuba membangkitkan semula isu tersebut, Ramkarpal berkata beliau akan membincangkannya dengan pemimpin DAP terlebih dahulu. – 21 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen