Ramkarpal gesa Muhyiddin sahkan suara dalam rakaman audio tawar jawatan


Perdana Menteri Muhyiddin Yassin digesa mengesahkan suara siapa dalam rakaman audio menawar jawatan kepada wakil rakyat supaya sertai Perikatan Nasional. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Julai, 2020.

AHLI Parlimen Bukit Gelugor Ramkarpal Singh membacakan transkrip rakaman audio dipercayai mengandungi suara Perdana Menteri Muhyiddin Yassin yang mencadangkan ahli Parlimen diberikan jawatan penting bagi memastikan mereka menyokong kerajaan baharu di Dewan Rakyat, hari ini.

Ia dibuat selepas Timbalan Speaker Azalina Othman Said enggan membenarkan wakil rakyat DAP itu memainkan rakaman audio tersebut ketika perbahasan Titah Diraja.

Sebelum itu, Ramkarpal berkata soalan yang dihantarnya kepada Muhyiddin, yang juga ahli Parlimen Pagoh, untuk mendapatkan pengesahan sama ada benar suaranya dalam rakaman itu ditolak Dewan.

Beliau kemudiannya bertanya sekiranya menteri dalam negeri boleh menjelaskan status siasatan polis ke atas rakaman itu, selepas laporan polis dibuat DAP pada 1 Jun lalu.

“Ini suara Pagoh kah? Dia kah? Kerana jika dia, dengan penuh hormat, satu kesalahan mungkin sudah dilakukan.

“Apa yang dia perlu buat adalah sahkan sama ada itu suaranya. Bila dia buat itu, ia boleh disiasat. Kalau bukan suara dia, dia boleh kata begitu di Parlimen.

“Saya tanya soalan kepada Pagoh tetapi ditolak, saya tanya menteri dalam negeri pula untuk jelaskan sama ada rakaman itu sedang disiasat,” kata Ramkarpal.

Muhyiddin tidak berada dalam Dewan ketika Ramkarpal berucap.

Ramkarpal kemudiannya mengeluarkan telefon bimbitnya mengandungi rakaman itu dan mendekatkannya dengan mikrofon, memaklumkan Dewan yang beliau akan memainkan rakaman itu.

Tetapi, tindakan itu dihalang Azalina menyebabkan Ramkarpal berkata: “Tidak ada Peraturan Mesyuarat yang menghalang saya daripada berbuat begitu (mainkan rakaman). Ia pernah dibuat dahulu, dalam kes bekas ketua hakim Tun Zaki Azmi berkaitan dakwaan kesalahan tertentu. Bekas ahli Parlimen Bukit Gelugor juga buat benda sama, mainkan rakaman audio dalam Parlimen dengan tujuan memaklumkan Dewan.”

“Ini adalah sebahagian daripada ucapan saya. Saya beri Dewan bukti terbaik. Lebih baik saya mainkan rakaman daripada ulang balik (baca transkrip),” tambah Ramkarpal.

Bagaimanapun, Azalina bertegas yang beliau tidak membenarkan rakaman itu dimainkan, berkata, “Awak tak beri notis, ini mengejutkan saya.”

Tambahnya, Ramkarpal boleh membacakan transkrip itu dan meneruskan ucapannya tetapi memberi amaran supaya tidak memainkan rakaman audio itu.

Beberapa klip audio dirakam pada mesyuarat Majlis Pimpinan Bersatu pada 23 Februari lalu terbongkar pada lewat Mei, dan antara suara yang didengar dipercayai milik Muhyiddin.

Dalam satu rakaman, suara itu didengar berkata yang wakil rakyat boleh diajak menyertai kerajaan baharu dan jawatan akan diberikan kepada mereka, sama ada sebagai menteri atau pengerusi syarikat berkaitan kerajaan.

“Apa yang saya baca sebentar tadi jelas menunjukkan wujud unsur tawaran bagi pihak perdana menteri. Dia menawarkan (ganjaran) kepada ahli kerajaan Pakatan (Harapan) ketika itu untuk menyertai Perikatan Nasional sekarang.

“Bukankah ini khianat terbesar? Ada orang ini yang tersenyum. Tiga bulan dulu mereka duduk di belah sini (bersama PH),” katanya lagi. – 21 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen