SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) bagi Putrajaya, hanyalah sebuah jabatan kerajaan dan bukannya badan bebas untuk mengendalikan pilihan raya, kata bekas pengerusinya Abdul Rashid Abdul Rahman, ketika menjelaskan kenapa Malaysia duduk di tangga corot 142 daripada 158 negara dalam senarai integriti pilihan raya dunia.
Rashid yang kini bersama Bersatu, berkata Malaysia dapat skor rendah kerana sistem pilihan raya negara dikawal sebelah pihak saja sehingga kerajaan memerintah, yang selama ini di bawah Barisan Nasional (BN) menganggap badan bebas itu jabatan di bawah kerajaan.
“Memang dikawal sebelah pihak. Sistem pilihan raya di sini dikawal oleh kerajaan dan kerajaan makin teruk sekarang ni kerana menganggap SPR satu jabatan kerajaan, bukan badan bebas.
“Daripada segi amalan demokratik (democratic practice) berbanding tiga negara jiran (Filipina, Singapura dan Indonesia), mereka jauh lebih ke hadapan daripada kita. Amat memalukan,” kata naib presiden Bersatu itu kepada The Malaysian Insight.
Kedudukan corot Malaysia itu ditunjukkan dalam satu kajian integriti pilihan raya “Malaysia’s Electoral Process: The Methods and Costs of Perpetuating Umno Rule” oleh pensyarah di University of British Columbia.
Penolong Profesor Kai Ostwald dari Sekolah Dasar Awam dan Hal Ehwal Global & Jabatan Sains Politik memuat naik kertas penyelidikan itu ke laman web ResearchGate bulan lepas.
Rashid yang menerajui SPR antara 2000 hingga 2008 diminta mengulas laporan itu.
Kajian itu mengukur undang-undang pilihan raya, prosedur pilihan raya, persempadanan kawasan, pendaftaran pengundi, pendaftaran parti, liputan media, kempen, proses pengundian, dan pengiraan undi untuk menilai tahap manipulasi keseluruhan sistem pilihan raya.
Malaysia berada pada kedudukan lebih tinggi daripada Zimbabwe, Vietnam dan Afghanistan dalam kajian integriti pilihan raya, tetapi ia jauh terkebelakang berbanding jiran serantau seperti Indonesia, Singapura dan Filipina.
“Dulu memang di bawah (kedudukan), sekarang lagi teruk. Saya memang setuju dengan pendapat (kajian) itu,” kata Rashid.
“Undang-undang pilihan raya kita tak lengkap. Undang-undang kita ketinggalan zaman, jauh ketinggalan zaman. Kita pakai undang-undang yang kita gubal pada 1957.
“Berubah sikit proses dalam pengundian. Tapi sistem ketinggalan zaman, orang (negara) lain tak buat dah,” katanya.

Antara perubahan yang diminta oleh masyarakat sivil Malaysia melalui badan pendesak pembaharuan pilihan raya, Bersih 2.0 ialah pendaftaran pengundi automatik.
Rashid berkata terserah kepada pengundi untuk mengubah keadaan pada pilihan raya nanti.
“Rakyat sendiri perlu mendapat kesedaran bahawa negara ini perlu berubah daripada segi kerajaan.
“Kalau nak tunggu sistem pilihan raya yang telus, adil dan saksama, tak ada. Dan saya rasa, kerajaan takkan ubah apa-apa (untuk ke arah itu),” katanya.
Ketika di SPR, Rashid berkata beliau pernah mengemukakan beberapa cadangan untuk menambah baik sistem pilihan raya Malaysia.
“Saya pernah kemukakan cadangan (kepada kerajaan) untuk dipinda supaya sistem sesuai dengan keadaan semasa.
“Supaya sama dengan negara lain. Lebih demokratik.
“Tapi kadang-kadang tak terjawab. Mereka tak cakap tak mahu tapi akan bagi jawapan ‘tak usah pinda sekarang, tunggu dulu’,” katanya.
The Malaysian Insight juga mengirimkan beberapa soalan mengenai laporan kajian itu kepada pengerusi SPR sekarang Mohd Hashim Abdullah tetapi beliau enggan mengulas.
Sementara itu, Pengerusi Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) Maria Chin Abdullah pula berkata, keputusan kajian tersebut tidak mengejutkan.
Katanya, SPR mampu mengubah keadaan ini dengan merujuk kepada memorandum Bersih 2.0 mengenai pembaharuan sistem pilihan raya.
“Tidak mengejutkan Malaysia berada di kedudukan yang jauh ke terbelakang dalam senarai tersebut.
“Ini perkara yang perlu diambil kira oleh SPR supaya memandang serius isu integriti pilihan raya ini dan memastikan ia sebagai satu sistem yang demokrasi.
“Sebagai langkah permulaan, SPR boleh melihat memorandum Bersih yang dihantar kepada SPR mengenai pembaharuan sistem pilihan raya seperti memansuhkan undi pos dan digantikan dengan mengundi lebih awal,” katanya.
“Ini akan menjadi langkah pertama untuk mengembalikan keyakinan orang ramai mengenai proses pilihan raya dan kesahihan keputusan pilihan raya,” kata Maria.
Bersih sehingga ini sudah mengadakan lima perhimpunan sejak 2007 dan secara konsisten mendesak pembaharuan pilihan raya termasuk membersihkan daftar pengundi, perubahan sistem undi pos, penggunaan dakwat kekal, kempen 21 hari, akses kepada media yang lebih adil serta menjadikan SPR lebih bertanggungjawab kepada Parlimen. – 6 Disember, 2017.
Komen
Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Amera amani · Ulasan