TOP Glove Corp Bhd menggunakan khidmat firma perunding yang sebelum ini bekerjasama dengan pesaingnya, WRP Asia Pacific Sdn Bhd, bagi menyelesaikan isu arahan sekatan dikenakan agensi Perlindungan Sempadan dan Kastam (CBP) Amerika Syarikat ke atas anak syarikatnya.
Pada taklimat kepada media dan penganalisis hari ini, Pengarah Urusan Top Glove Lee Kim Meow berkata arahan sekatan itu hanya diketahui kumpulan itu pagi tadi.
“Kami sudah memanggil perunding yang menasihati WRP dalam pembatalan arahan sekatan terhadap mereka baru-baru ini,” katanya.
Lee menambah, pelan sudah digerakkan untuk mengeluarkan pengeluar sarung tangan getah terbesar dunia itu daripada senarai secepat mungkin.
AS mengenakan arahan sekatan ke atas Top Glove, yang selalunya dikenakan kepada syarikat yang disyaki mengamalkan buruh paksa.
Laman sesawang CBP menunjukkan Top Glove Sdn Bhd dan TG Medical Sdn Bhd, kedua-duanya anak syarikat Top Glove Corp Bhd berada dalam senarai syarikat yang produknya diharamkan import.
CBP tidak memberikan penjelasan mengapa kedua-dua syarikat itu berada dalam senarai tersebut.
Oktober tahun lepas, AS mengenakan arahan sekatan ke atas WRP, mendakwa syarikat itu terlibat dalam amalan buruh paksa. – 16 Julai, 2020.
Komen