Top Glove hubungi pihak berkuasa AS berkaitan isu sekatan import


Top Glove sedang berhubungan dengan pihak berkuasa AS bagi menyelesaikan segara isu arahan import produknya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Julai, 2020.

TOP Glove Corp Bhd sedang berhubungan dengan agensi Perlindungan Sempadan dan Kastam AS (CBP) bagi mempercepatkan proses penyelesaian berkaitan arahan sekatan import ke atas pengeluar sarung tangan getah terbesar dunia itu.

Lembaga Pengarah Top Glove dalam pemfailan kepada Bursa Malaysia berkata ia berhubung dengan CBP bagi mendapatkan pemahaman mendalam isu itu, menambah yang ada kemungkinan ia berkaitan dengan isu buruh asing.

“Kami sedang berhubungan dengan CBP melalui pejabat kami di AS, pelanggan dan perunding, untuk memahami isu dengan lebih baik dan berusaha ke arah penyelesaian segera isu ini, dianggarkan berlaku dalam tempoh dua minggu,” katanya.

“Ada kemungkinan ia berkaitan dengan isu buruh asing, yang kami sudah selesaikan, kecuali satu lagi perkara berkaitan dengan pembayaran semula upah penggajian pekerja kami kepada ejen sebelum Januari 2019, yang dibuat tanpa pengetahuan kami.”

Top Glove, menambah, yang syarikat sudah menampung semua upah penggajian sejak Januari 2019 apabila Dasar Sifar Upah Penggajian dilaksanakan.

“Sejak beberapa bulan lepas kami bekerja keras menyelesaikan isu ini dengan melibatkan penjejakan menyeluruh untuk mendapatkan jumlah tepat yang perlu dibayar semula kepada pekerja kami, bagi pihak ejen terdahulu.

“Kami menjangkakan jumlah keseluruhan antara RM20 juta sehingga RM50 juta,” katanya.

“Kami percaya demi manfaat terbaik semua pihak wujud keperluan agar penyelesaian segera dicapai supaya sarung tangan getah pakai buang kami dapat sampai kepada pihak yang sangat memerlukannya, terutamanya ketika musim Covid-19,” tambahnya.

Kumpulan itu berkata, syarikat akan memberikan perkembangan terkini isu itu dari semasa ke semasa.

AS mengenakan arahan sekatan import ke atas Top Glove, yang selalunya dikenakan kepada pengeluar barangan yang disyaki mengamalkan amalan buruh paksa.

Laman sesawang CBP menunjukkan Top Glove Sdn Bhd dan TG Medical Sdn Bhd, kedua-duanya anak syarikat Top Glove Corp Bhd, berada dalam senarai produk diharamkan.

CBP tidak memberikan sebab mengapa kedua-dua syarikat itu berada dalam senarai.

Setakat jam 2.21 petang tadi, saham Top Glove jatuh 2.57% kepada RM21.24 dengan 25.71 juta unit diniagakan. – 16 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen