PERNAHKAH anda berdepan dengan pintu yang ada pemegang besi, lalu anda pun menolak pintu itu untuk membukanya, tetapi ia tidak terbuka? Kenapa letak pemegang kalau bukan untuk ditarik?
Kalau perlu tolak, letak saja sekeping besi keluli leper pada permukaan terdekat dengan tangan pengguna, lalu pengguna akan faham pintu itu seharusnya ditolak, bukan ditarik. Tak perlu pun tulis “tolak” atau “tarik”.
Ini asas reka bentuk. Bukan saja mesti cantik, ia juga perlu berfungsi.
Reka bentuk logo juga tidak dapat lari daripada asas tersebut. Selain cantik, ia harus mempunyai fungsi untuk memikul nilai dan falsafah yang mahu diletakkan kepadanya.
Umno misalnya, menaruh identiti Melayu dalam logonya yang terbina daripada huruf hijaiyah Pa, Kaf, Mim dan Ba (daripada Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu) yang disusun begitu, bersekali dengan dua keris bersilang menuju ke bawah, isyarat mempertahan nasib orang Melayu. Di waktu pilihan raya, ia memakai lambang dacing, supaya tidak kelihatan sekadar mewakili orang Melayu saja.
DAP menggunakan lambang roket; simbol kemajuan, selain memuatkan karakter 中 (zhōng - zhòng) tanpa sedar atau niat yang jelas barangkali yang membawa maksud “tengah” atau “berpusat”, atau mudahnya penyatuan dan kesepakatan. Sekali pandang, jelas kelihatan roket. Selama 51 tahun lampau, ia kekal dengan identiti tersebut yang sudah dikenal ramai.
Manakala PAS lebih mudah dengan memakai lambang bulan purnama, meskipun dalam kalangan pengundi bukan Melayu, ia dilihat sebagai bola ping pong. Bulan purnama bagi PAS adalah lambang yang Islami.
Amanah pula, saya tidak pasti apa mesej dan nilai yang cuba disampaikan. Bahkan ada dakwaan logonya itu dibuat secara cincai, malah meniru logo stesyen televisyen India. Tapi itu cerita lain.
Pun begitu, pendeknya setiap simbol parti politik, disaratkan dengan nilai dan diberi tenaga serta makna. Justeru tidak boleh dibuat secara sambil lewa, bagai melepaskan batok di tangga.
Pakatan Harapan bakal berdepan BNperikatan politik besar yang menjaja simbolisme keadilan dan nasionalisme berlatarkan wajah penuh yakin presiden Umnp dengan bibir merah delima.
BN belum pernah menukar nama mahupun logonya sejak ditubuhkan pada 1973. Ini dilakukan setelah Perikatan mengalami kekalahan teruk pada pilihan raya 1969 yang menyaksikan Perikatan memenangi kurang separuh undi popular, manakala Gerakan (sebuah parti pembangkang ketika itu) muncul juara di Pulau Pinang.
Hasil rundingan bersama Gerakan, dan kemudian PAS, Perikatan digantikan dengan BN. Lambang dacing mengambil alih lambang “cap kapal layar”.
Sejak 1973, beberapa parti komponen keluar masuk beberapa kali. Termasuk PAS sendiri yang ditendang keluar daripada gabungan tersebut pada 1977. Ia malah kehilangan majoriti dua pertiga Dewan Rakyat pada 2008, dan hanya mampu mendapat 48% undi popular pada 2013. Hampir sama keadaannya dengan 1969.
Namun BN tidak bubar. Ia tetap dengan penjenamaan yang sama, menjual idea keadilan melalui lambang dacingnya, selain menjaja idea nasional melalui nama dan tindak tanduknya. Malah skandalnya pun berjaya dijadikan liabiliti nasional.
Pokoknya BN kekal dengan satu logo, satu ketumbukan parti politik, satu agenda ketika berdepan pilihan raya. Formula wehdatul-fikr (kesatuan fikiran) dan wehdatul-amal (kesatuan cara kerja) ini diketahui berkesan dan memastikan kemenangan BN selama berpuluh-puluh tahun.
Simbol memainkan peranan besar dalam soal dan kerja penyatuan, seperti mana bendera, warna korporat, bahkan slogan semuanya boleh diterjemah sebagai isyarat sesebuah gabungan parti politik itu tersusun dan bersedia menempuh pilihan raya.
BN siap sedia dari sudut itu.
Pakatan Harapan masih belum siap dan harus bekerja lebih keras.
Namun hakikatnya asas bagi setiap pilihan raya yang berdepan sebuah “rejim” yang memerintah selama 60 tahun (contohnya) ialah semata-mata melawan rejim tersebut.
Kadang-kadang kita lupa di sebalik simbologi keadilan yang cuba dibawa dacing BN ia juga menjadi simbol kepada kepayahan yang ditanggung umat negara ini selama puluhan tahun lampau. Kepayahan itu pula nampaknya kian memberat akhir-akhir ini.
Simbol dacing BN mewakili beban berat yang ditanggung rakyat hasil kenaikan kos sara hidup ekoran kenaikan harga barang, kejatuhan nilai ringgit, keadaan harga pasaran petrol yang tidak menentu, selain ketamakan majikan yang mahukan untung lebih dan enggan menaikkan kadar gaji. Itu belum cerita lagi bab cukai GST, kenaikan tarif elektrik, kadar tol dan segala yang lain.
Ini semua lahir daripada dasar yang digubal parti cap dacing.
Hakikatnya, dalam rangka melawan dasar ini, kalau perlu mengundi parti cap ayam pun, cap ayamlah. – 6 Mei, 2017.
* Izmil Amri, berasal dari Pulau Pinang dan sering gagal dalam banyak hal. Kini seorang pemerhati politik yang sedang cuba untuk kurangkan makan nasi kandar. Berkicau di @The_Mamu
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen