Penerbit buku nafi berniat hina jata negara


Sheridan Mahavera

Pengasas Gerakbudaya Chong Ton Sin berkata kulit buku Rebirth: Reformasi, Resistance, And Hope In New Malaysia daripada lukisan yang pernah dipamerkan dalam pameran anjuran pihaknya. – Gambar Gerakbudaya, 30 Jun, 2020.

TIADA niat untuk menghina jata negara, kata penerbit sebuah buku berkenaan politik di Malaysia yang sedang disiasat polis.

Pengasas Gerakbudaya Chong Ton Sin memberitahu The Malaysian Insight bahawa kulit buku bertajuk “Rebirth: Reformasi, Resistance, And Hope In New Malaysia”, diambil daripada sebuah lukisan yang pernah dipamerkan sebelum ini oleh penerbit itu.

Chong berkata Gerakbudaya akan bekerjasama dengan polis yang setakat ini belum menghubunginya secara rasmi.

“Mereka datang ke kedai petang semalam. Mereka minta untuk jumpa saya. Tetapi saya tidak ada ketika itu,” kata Chong yang juga popular dikenali sebagai Pak Chong.

“Mereka tidak tunggu. Mungkin mereka akan datang lagi hari ini,” kata Chong kepada The Malaysian Insight.

Chong berkata Gerakbudaya akan terus menjual buku itu di kedainya di Petaling Jaya dan secara atas talian selagi tidak ada arahan rasmi untuk mengharamkannya.

Menurut kedai atas talian Gerakbudaya, buku setebal 212 halaman itu adalah koleksi esei oleh pemikir dan wartawan terkemuka berkenaan lanskap politik Malaysia selepas Pilihan Raya Umum ke-14 yang bersejarah.

Polis di Bukit Aman berkata mereka menyiasat buku itu kerana dikatakan menghina jata negara.

Pemuda Umno mendesak buku itu diharamkan, berkata kulit mukanya menghina jata negara.

Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki berkata kulit buku itu memaparkan imej jata negara diubahsuai yang menghina lambang kedaulatan negara.

Chong berkata buku itu yang disunting oleh Kean Wong, diterbitkan awal tahun ini dan sudah dijual selama enam bulan.

“Kedai kami akan terus menjual buku itu hingga ia diharamkan secara rasmi. Kami tidak ada niat langsung menghina jata negara.

“Kami pernah guna lukisan itu dalam pameran sebelum ini dan tidak ada masalah daripada pihak berkuasa.” – 30 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen