SEORANG peniaga roti canai di Ulu Klang, Selangor mendakwa rugi RM20,000 selepas kedainya dirempuh pemandu yang dipercayai mabuk malam tadi.
Muhamad Ezai Misfar @ Husin, 42, berkata kejadian berlaku kira-kira 8.30 malam ketika beliau yang ditemani isteri sedang menguli tepung di kedai mereka di Medan Selera Lorong Perak, Taman Melawati untuk jualan hari ini.
Kejadian berlaku sepantas kilat, bermula dengan bunyi dentuman sebuah kereta jenis Myvi melanggar dua buah kereta jenis Bezza dan Iswara yang diparkir di hadapan kedai, katanya.
“Kami biasa buka pagi saja dari enam pagi hingga 11.30 tengah hari… malam tak buka kedai, biasa malam kita buat persiapan untuk esok pagi.
“Jadi dalam jam 8.30 malam masa kita tengah uli tepung kita dengar ada dua dentuman, pertama pemandu kereta Myvi langgar Bezza kemudian langgar kereta Iswara yang parkir betul-betul depan kedai saya dan itu yang sampai terperosok masuk kedai,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Muhamad Ezai dan isteri bernasib baik tidak mengalami sebarang kecederaan sebaliknya hanya trauma kesan dari insiden tersebut.
Bagaimanapun seorang pelanggan dalam lingkungan umur 50 tahun yang sedang menunggu pesanan dirempuh oleh kereta Myvi, tambahnya.
“Tapi selepas kena langgar pakcik itu bangun dan terus balik. Kita pun tidak sempat tanya bagaimana keadaan beliau,” katanya.
Pemandu terlibat dibawa ke balai polis untuk disiasat oleh anggota polis yang tiba di medan selera itu lebih kurang lima minit selepas kejadian.

Muhamad Ezai berkata beliau turut dipanggil ke Ibu Pejabat Daerah Ampang Jaya malam tadi untuk diambil keterangan berhubung insiden.
Mengenai perniagaannya, peniaga itu berkata biarpun masih dalam keadaan trauma dan kedainya hampir musnah, beliau tiada pilihan selain terpaksa tetap berniaga.
“Kedai memang hancurlah, tapi terpaksa buka juga, sebab pendapatan kami bergantung dengan jual roti canai.
“Sudahlah masa PKP (perintah kawalan pergerakan) kami tak dapat berniaga, jadi nak tak nak terpaksa juga,” katanya.
Pemandu direman
Sementara itu Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Superitendan Mohd Azam Ismail berkata siasatan awal mendapati kandungan alkohol dalam badan suspek melebihi had normal.
Pemandu itu, seorang jurutera berumur 42 tahun direman sehingga Selasa ini untuk siasatan, katanya, seperti lapor The Star.
Lelaki itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Putrajaya dijangka membentangkan pindaan ke atas akta berkenaan pada sidang Parlimen akan datang untuk menambah hukuman bagi mengurangkan kes kemalangan melibatkan pemandu mabuk.
Awal minggu ini, Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong berkata akan membentangkan cadangan pindaan itu kepada Jemaah Menteri dalam mesyuarat mingguannya pada Rabu. – 27 Jun, 2020.
Komen